Oleh: Muhammad Syafiq bin Razali & Anis Suraya binti Muhammad

TANJONG MALIM, 20 APRIL 2025 – GEOLYMPIC DAYS 2025, sebuah acara sukan tahunan anjuran Persatuan Geografi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), telah berlangsung dengan penuh semangat dan kemeriahan selama dua hari bertempat di Gelanggang Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.

Program yang berlangsung pada 19 dan 20 April ini menghimpunkan mahasiswa Fakulti Sains Kemanusiaan dalam pelbagai acara sukan dan permainan rakyat yang bertujuan menyemai semangat kesukanan, memperkukuh hubungan silaturahim serta meningkatkan tahap kecergasan dan kerjasama dalam kalangan pelajar geografi.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Sains Kemanusiaan, Dr. Abu Zarrin bin Selamat, yang dalam ucapannya menegaskan bahawa penganjuran program seperti ini mampu melahirkan mahasiswa yang seimbang dari segi jasmani, emosi dan sosial.

Turut hadir memberikan sokongan ialah pensyarah geografi, Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib, yang menyifatkan program ini sebagai bukti kesungguhan pelajar dalam menjadikan fakulti sebagai ruang interaksi sihat dan inklusif.

Acara futsal kategori lelaki.
Acara bola jaring campuran

Muhammad Syafiq bin Razali, Yang Dipertua Persatuan Geografi UPSI, turut menghadirkan diri bagi menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan Geolympics Day 2025, sekali gus memberikan suntikan semangat kepada seluruh peserta dan urus setia.

Selaku Pengarah Program, Muhammad Aiman Hafizy memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran dan kejayaan keseluruhan penganjuran edisi tahun ini.

Beliau bersama barisan jawatankuasa pelaksana telah merancang pelbagai acara menarik yang berjaya menggalakkan penglibatan aktif mahasiswa dalam suasana penuh sportiviti. 

Acara Tarik tali
Gimik perasmian Geolympics Day 2025

Program ini melibatkan penyertaan empat kumpulan batch utama iaitu Geoforest, Geoventures, Geolaxy dan Geonation. Setiap kumpulan mewakili generasi pelajar geografi UPSI yang berbeza, bersaing     secara sihat    dalam semangat  perpaduan dan kerjasama.

Antara acara yang dipertandingkan    termasuklah futsal, bola tampar, bola jaring, badminton, larian 100 meter (lelaki dan perempuan), sukaneka, tarik tali serta acara perbarisan kreatif yang menjadi kemuncak sambutan hari pertama program.

Geoforest telah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Geolympoics Day 2025 selepas mengungguli beberapa acara utama sepanjang kejohanan.

Sementara itu, Geonation berjaya menambat hati para juri dalam acara perbarisan dan diumumkan sebagai Juara Perbarisan Kreatif.

Program ini diakhiri dengan majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada para pemenang. Hadiah dan sijil penghargaan telah disampaikan oleh barisan penasihat dan exco tertinggi persatuan. 

Geolympics Day 2025 melabuhkan tirainya dengan sesi bergambar serta laungan penuh semangat “Pergeo Gah Gemilang!” yang mencerminkan iltizam mahasiswa dalam menjadikan sukan sebagai platform pembentukan jati diri serta memperkukuh solidariti dalam kalangan mahasiswa geografi UPSI.