Oleh: Muhammad Irham Ruslan Fadzil, Farah Nabiela Md Nazri & Cik Ummikalsum Mat Lazim

Tanjong Malim, 21 Mac 2025 – Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ), Institut Penyelidikan Pengajian Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI), Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan sebuah program “Ceramah 10 Malam Terakhir: Meraih Redha Ilahi” sebagai salah satu pengisian utama dalam program induk Ramadan Fest 1446H.

Program ini telah dijayakan dengan kerjasama strategik daripada pelbagai persatuan pelajar, antaranya Persatuan Bahasa Arab UPSI, Rakan Siswa YADIM UPSI, Persatuan Mahasiswa Sains UPSI, Persatuan Pengurusan dan Ekonomi Fakulti Pengurusan dan Ekonomi UPSI, Persatuan Pendidikan Islam UPSI, Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu UPSI, Persatuan Pengajian Malaysia UPSI, Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam UM, Persatuan Mahasiswa Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM, serta Jawatankuasa Siswa/i Kolej Kediaman Sutera Indah USIM.

Prof. Dr. Azmil bin Hashim, Pengarah Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI) merasmikan Ceramah 10 Malam Terakhir: Meraih Redha Ilahi
Ustaz Mohamad Moqti bin Ahmad memberikan perkongsian bersama para penonton

Program ini telah melibatkan penyertaan merentas institusi, merangkumi warga UPSI, UM, USIM serta IPTA lain, daripada kalangan mahasiswa, pensyarah dan orang awam. Ia telah dijalankan secara atas talian melalui siaran langsung di saluran YouTube rasmi PTQ Official, sekali gus membolehkan capaian yang lebih luas dan inklusif.

Menurut Prof. Dr. Azmil bin Hashim, Pengarah Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI), konsep penganjuran program ini turut berteraskan kepada hasrat kebitaraan yang menjadi teras Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Beliau menjelaskan bahawa konsep BITARA, yang membawa maksud bijak tanpa tara atau unggul, merangkumi nilai-nilai utama seperti: B – Bakat Unggul, I – Inovasi dan Penyelidikan, T – Transformasi Teknologi, A – Adab, Akhlak dan Akademik, R – Revolusi Ekosistem, A – Adaptasi Global.

Kesemua elemen ini menjadi panduan dalam melahirkan generasi mahasiswa seimbang dari aspek spiritual, intelektual dan sahsiah.

Beliau menegaskan bahawa melalui pemerkasaan program kerohanian dan intelektual seperti ini, UPSI mampu terus menjulang nama dan maruah universiti sebagai institusi pendidikan unggul yang menghasilkan graduan cemerlang dari pelbagai sudut – bukan sahaja dalam akademik, malah dalam nilai keinsanan sejagat.

Ucapan Pengarah Program, Muhammad Irham, dalam program 10 malam terakhir Ramadan

Tetamu jemputan utama bagi program ini ialah Ustaz Mohamad Moqti bin Ahmad, seorang pengajar, penceramah dan pendakwah bebas yang terkenal di seluruh Malaysia, terutamanya di Kedah.

Kehadiran beliau dalam program ini telah mendapat sambutan yang luar biasa daripada mahasiswa UPSI serta masyarakat luar, dengan jumlah tontonan siaran langsung mencecah 1,442 orang di saluran YouTube PTQ Official.

Dalam ceramah yang disampaikan, Ustaz Moqti berkongsi pelbagai tip berharga untuk meraih redha Allah SWT melalui kelebihan 10 malam terakhir Ramadan, yang mengandungi Malam Lailatul Qadar.

Beliau turut menekankan amalan-amalan yang dapat dilakukan sepanjang tempoh tersebut, yang bersandarkan kepada dalil al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW.

Di penghujung ceramah, beliau memberikan panduan tentang langkah-langkah yang perlu diambil oleh setiap Muslim untuk meningkatkan iman dan taqwa, dengan harapan agar memperoleh kelebihan dan keampunan Allah SWT sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.

Menurut Pengarah Program, Muhammad Irham, 10 malam terakhir Ramadan adalah masa keemasan untuk beramal soleh, mengikuti sunnah Nabi Muhammad SAW yang meningkatkan amalan baginda untuk meraih pahala berganda.

Program ini bertujuan untuk memupuk kesedaran peserta mengenai amalan yang boleh dilakukan untuk mengejar Malam Lailatul Qadar.

Program ini mendapat sambutan hangat daripada mahasiswa UPSI dan IPTA lain. Seorang peserta berkata, “Program ini buat saya lebih bersemangat, banyak pengajaran yang dapat diambil dan ilmu yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan.”

Kami berharap program seperti ini dapat diteruskan bagi menggalakkan mahasiswa berilmu dan beriman, sambil memperkukuh kefahaman tentang amalan terbaik di 10 malam terakhir Ramadan serta menarik lebih ramai penyertaan daripada pelbagai pihak.

Kesimpulannya, penganjuran program Ceramah 10 Malam Terakhir: Meraih Redha Ilahi bukan sahaja menyemarakkan semangat penghayatan Ramadan dalam kalangan mahasiswa, malah berjaya memperkukuh kefahaman peserta terhadap nilai-nilai keagamaan, kerohanian dan sahsiah.

Inisiatif ini juga secara tidak langsung menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti dengan menyediakan ruang pembelajaran berteraskan ilmu agama dan nilai murni. SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan melalui pengukuhan kesejahteraan emosi dan spiritual. SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat melalui kerjasama antara pelbagai persatuan pelajar dan institusi pengajian tinggi.

Diharapkan program sebegini dapat diteruskan dan diperluaskan, agar manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai pihak dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan modal insan yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing di peringkat global.