Oleh: Nur Izra Izzati Balqis Bakri & Dr Mohamad Ihsan Muhamad Ismail,

TANJUNG MALIM, 3 Jun 2026 – Forum Kepimpinan Mahasiswa & Belia: Membina Masa Hadapan Malaysia telah berlangsung dengan jayanya. Dalam usaha melahirkan generasi pemimpin yang berwibawa dan berdaya saing, penganjuran Forum Kepimpinan Mahasiswa & Belia menjadi satu inisiatif yang amat membantu dalam membentuk jati diri mahasiswa yang berkualiti. Program ini membawa tema “Membina Masa Hadapan Malaysia: Suara Mahasiswa, Pemacu Negara”, yang menekankan kepentingan peranan mahasiswa dan belia sebagai agen perubahan dalam pembangunan negara. Program ini merupakan anjuran Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah (TREX), Persatuan Geografi (PERGEO) sesi 2025/2026.

Program ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan Baik), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 10 (Mengurangkan ketidaksamaan). Program ini telah diadakan secara dalam talian melalui platform Google Meet serta disiarkan secara langsung di Youtube Pergeo UPSI. Program ini disertai seramai 637 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa dan belia dari seluruh Malaysia. Forum ini juga dihadiri dan dirasmikan oleh Prof Madya Dr. Kamarul bin Ismail selaku Timbalan Dekan Jaringan Industri &  Pengkomersialan. Beliau berharap program ini menjadi titik tolak kepada lahirnya pemimpin muda yang berani menyuarakan pandangan , bijak mengurus perbezaan , dan mampu membawa perubahan positif.

Ucapan dari perasmi Prof Madya Dr. Kamarul bin Ismail
Perkongsian daripada panel jemputan

Forum ini menampilkan barisan panel yang terdiri daripada tokoh kepimpinan mahasiswa, iaitu Nik Ahmad Nuri bin Nik Ismail, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Sidang 2022/2023 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), serta Muhammad Afizi Zazani bin Muddin, wakil Majlis Perwakilan Pelajar Sidang 2023/2024 UPSI. Turut berperanan sebagai moderator ialah Putri Erra Elyana binti Sharizall, Yang Dipertua Persatuan Geografi Sidang 2025/2026 UPSI. Kehadiran mereka memberikan peluang kepada peserta untuk memahami pengalaman sebenar dalam dunia kepimpinan mahasiswa.

Di dalam forum ini,beberapa perkongsian telah dilakukan oleh kedua panel jemputan. Antara perkongsian yang dikongsi saudara Nik Ahmad Nuri bin Nik Ismail ialah beliau berkongsi beberapa kesilapan sikap pemimpin yang biasanya berlaku antaranya kurangnya ilmu , kurang keyakinan dan mudah berputus asa. Beliau menyeru untuk sentiasa menyandarkan diri kepada tuhan dan menyeru pemimpin untuk tidak mudah putus asa.

Perkongsian yang telah dikongsi oleh panel Saudari Afizi Zazani bin Muddin dalam program ini ialah beliau menyeru untuk menjadi belia yang sentiasa menyumbang kepada pembangunan negara seiring dengan warkah yang ditulis beliau dan ditujukan kepada mahasiswa dan beliau iaitu “Negara ini tidak dibina oleh mereka yang hanya memerhati”.

Forum ini turut diselitkan dengan sesi soal jawab bagi mahasiswa yang mempunyai persoalan terutama dalam bidang kepimpinan ini. Sesi perkongsian ini juga turut memberi peluang kepada para peserta untuk bertanyakan soalan kepada panel Nik Ahmad Nuri dan  Afizi Zazani sekaligus mewujudkan komunikasi dua hala antara panel dan peserta. Sesi soal jawab melihatkan bahawa belia kini tertarik dengan isu kepimpinan pada masa kini.

Sesi soal jawab daripada para peserta
Ahli jawatankuasa Forum Kepimpinan Mahasiswa & Belia

Kesimpulannya, Forum Kepimpinan Mahasiswa & Belia ini bukan sahaja menjadi platform perkongsian ilmu dan pengalaman, malah berperanan sebagai medan penting dalam membentuk pemimpin masa hadapan yang berwawasan. Pihak penganjur berharap forum ini mampu membentuk jati diri mahasiswa yang berteraskan nilai murni dan membantu mahasiswa dalam meningkatkan keupayaan dalam mengurus emosi sekaligus membantu membina keyakinan diri.