Oleh: Noramalina Suyanto
TANJONG MALIM, 31 MEI 2025 – Sebuah program pertandingan masakan berkonsepkan aktiviti luar iaitu Masakan Rimba anjuran Persatuan Geografi, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berlangsung dengan meriah di tepi padang futsal, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. Program ini diadakan bersempena dengan sambutan Bulan Geografi dan Alam Sekitar yang dikenali dengan Geoenviro Month telah diraikan sepanjang bulan Mei bagi menyemai kesedaran dan kecintaan terhadap alam sekitar dalam kalangan mahasiswa.
Pertandingan yang melibatkan tiga kumpulan utama ini bertujuan untuk mengasah kemahiran memasak secara lasak dan berdikari, di samping memupuk semangat kerja berpasukan serta memperkukuh hubungan silaturahim sesama pelajar. Para peserta diberikan cabaran menyediakan
hidangan dengan menggunakan peralatan asas dalam suasana persekitaran semula jadi, sejajar dengan konsep ‘masakan rimba’ yang menguji kreativiti dan ketahanan.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Persatuan Geografi UPSI iaitu Muhammad Syafiq Razali, yang hadir memberikan sokongan dan semangat kepada para peserta. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada barisan ajk pelaksana atas usaha menganjurkan program yang bukan sahaja berteraskan keseronokan, tetapi juga membawa mesej kelestarian dan kebersamaan.



Sepanjang pertandingan, ketiga-tiga kumpulan menunjukkan usaha dan semangat tinggi dalam menyediakan sajian terbaik mereka. Setiap hidangan dinilai berdasarkan kriteria seperti rasa, kebersihan, penyampaian, dan kerjasama kumpulan oleh juri yang dilantik. Program ini bukan sahaja menjadi platform untuk mencungkil bakat memasak dalam kalangan mahasiswa, malah mendidik mereka tentang pentingnya adaptasi dan kecekapan dalam pengurusan sumber di alam sekitar.
Pertandingan Masakan Rimba 2025 melabuhkan tirainya dengan laungan semangat dan sorakan peserta menggambarkan kejayaan penganjuran program ini sebagai satu inisiatif yang menyatukan elemen akademik, kemahiran insaniah dan kesedaran alam sekitar dalam suasana santai dan bermanfaat.
