Oleh: Noramalina Suyanto
TANJONG MALIM, 31 MEI 2025 – Majlis Penutup Geoenviro Month 2025 anjuran Persatuan Geografi, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Dewan Kuliah C, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS), UPSI. Majlis ini menjadi acara kemuncak kepada pelbagai program yang dilaksanakan sepanjang sambutan Geoenviro Month yang membawa misi memupuk kesedaran mahasiswa terhadap isu-isu alam sekitar serta pembangunan sahsiah dan tanggungjawab sosial melalui pendekatan kreatif, interaktif dan berimpak tinggi.


Majlis ini dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Kamarul Ismail, Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Pengkomersilan, FSK. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa penganjuran program seperti ini dapat memupuk nilai kepimpinan, inovasi dan semangat cakna alam sekitar dalam kalangan mahasiswa. Turut hadir memberikan sokongan padu ialah Yang Dipertua Persatuan Geografi UPSI, Muhammad Syafiq Razali serta Pengarah Program Geoenviro Month 2025 iaitu Siti Nurhawa Abdul Nur.
Sepanjang bulan Mei, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan termasuk pertandingan poster alam sekitar, Upcycle Art Challenge, Program Masakan Rimba, Pesona Protokol: Pelajar Profesional, E-sport: Mobile Legends – Ultimate Showdown, dan Geohunt: Kembara Alam (Geografi). Program-program ini bukan sahaja meningkatkan keterlibatan pelajar, malah menjadi platform integrasi nilai murni, kreativiti serta pembangunan kemahiran insaniah secara holistik.
Majlis diteruskan dengan tayangan video montaj yang merangkumkan segala aktiviti sepanjang bulan tersebut memberikan ruang refleksi dan apresiasi terhadap usaha setiap ahli jawatankuasa dan peserta. Tayangan tersebut disambut dengan tepukan gemuruh dan senyuman puas di wajah para hadirin meberi tanda kejayaan program yang dicapai bersama.
Majlis penutup disempurnakan dengan sesi fotografi rasmi yang melibatkan tetamu jemputan, ahli jawatankuasa dan para peserta sebagai simbol kenangan indah dan penghargaan kepada semua yang menjayakan acara.
.
