Oleh: Nur Aisyah Maisarah Azanil, Nur Amani Omar & Ummikalsum Mat Lazim
Tanjong Malim, 20 Mei 2025 – Institut Penyelidikan Pengajian Tahfiz dan Turath Islami (i-Furqan), Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengorak langkah gemilang di persada antarabangsa apabila merangkul empat pingat kecemerlangan dalam International Education Innovation Competition (Edu@Innovate) 2025 yang berlangsung pada pada 19 hingga 20 Mei lalu di Dewan Tuanku Canselor, UPSI. Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan daya inovasi dan keilmuan tinggi warga institusi, malah menjadi bukti kesungguhan i-Furqan dalam memartabatkan pendidikan Islam dan pengajian turath di peringkat antarabangsa.

Empat anugerah yang berjaya diraih oleh warga i-Furqan dalam pertandingan berprestij ini, merangkumi pelbagai pendekatan inovatif dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) pendidikan tahfiz dan pendidikan Islam antaranya Gold Award (Academic, Professionals, Industry Players) dengan Pembaris Sifir T4S20: Inovasi PdP Hifz Al-Quran hasil ciptaan Dr. Wan Muhammad Hafizuddin Wan Abd Halim, Ummikalsum Mat Lazim dan Siti Alia Zaharudin. Inovasi ini memperkenalkan alat bantu hafazan yang memudahkan pelajar menguasai surah-surah dengan sistematik, membantu meningkatkan keberkesanan hafazan serta memberi motivasi kepada pelajar secara sistematik dan berkesan.

Formulating A Digital Magic Moth Strategy for Enhancing Mastery of Arabic Derivative Words (Masdar) Among SPM Students dihasilkan oleh Inovasi oleh Nur ‘Atieqah Mohd Zainudin, Norsheika Syuhada Abd Karim dan Nur Atiqah Mohammad Nasir mendapat Best Gold Award (Postgraduate Students Category). Inovasi ini mengetengahkan strategi digital interaktif yang berkesan dalam meningkatkan penguasaan pelajar terhadap penguasaan perkataan masdar dalam Bahasa Arab.

SILVER Award (Academic, Professionals, Industry Players) dengan produk Aplikasi Mudah Alih Muallim Tarannum-Tech hasil gabungan pakar termasuk Dr. Mohamad Zarkhuan Zainol, Profesor Dr. Azmil Hashim, Profesor Madya Dr. Norhisham Muhamad, Dr. Muhammad Nazirul Mohd Sabri dan Profesor Madya Dr. Mohamad Marzuqi Abdul Rahim berjaya menghasilkan aplikasi mudah alih yang menyokong pembelajaran tarannum dengan pendekatan teknologi moden.

Bronze Award (Higher Instituion Graduate Student) melalui Integrating Multisensory Learning Through Pop-Up Book Design: “Riwayat Hidup Rasulullah SAW” dihasilkan oleh Dr. Samsuddin Abd Hamid dan pasukan, termasuk Dr. Abu Zarrin Selamat, Raudah Neha Elyana Md Najib, Nurul Izah Syamira Mohamad Faudzi, Muhammad Fathi Mohd Rosli, Nurin Hanis Hanini Muhammad Shamri, Nurin Afrina Ismail dan Nurul Athirah Azhar. Buku pop-up ini menggabungkan pembelajaran multisensori yang menjadikan sejarah Rasulullah SAW lebih dekat dan bermakna kepada generasi muda. generasi ulul albab yang seimbang dari aspek rohani, intelek dan inovasi.
Penyertaan dan pencapaian i-Furqan dalam pertandingan ini sejajar dengan aspirasi UPSI sebagai universiti pendidikan unggul yang memperkasakan inovasi dan pengantarabangsaan. Ia juga mendukung prinsip Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) – khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti, SDG 9: Inovasi dan Infrastruktur, serta SDG 17: Perkongsian untuk Mencapai Matlamat. Kejayaan ini membuktikan bahawa pengajian tahfiz, pendidikan Islam dan turath Islami mampu diperkasa melalui pendekatan kreatif dan teknologi semasa demi melahirkan generasi ulul albab yang seimbang dari aspek rohani, intelek dan inovasi. Semoga i-Furqan terus unggul membawa obor kecemerlangan ilmu dan warisan Islam ke persada dunia.
