Oleh: Ainul Zahari
Tanjong Malim, 14 Mei 2025 – Bertempat di Bilik Interaksi, Fakulti Sains Kemanusiaan(FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) program Dialogue & Dine to Embrace the Empathy anjuran Persatuan Pendidikan Moral (PERMOR) berlangsung dengan jayanya. Program ini membawa misi besar dalam menyemai semangat empati serta keprihatinan terhadap isu kemiskinan dan kekurangan makanan dalam kalangan mahasiswa.
Bermula seawal 7.30 pagi, program dimulakan dengan ketibaan ahli jawatankuasa dan pensyarah jemputan, diikuti oleh majlis rasmi yang merangkumi nyanyian lagu Negaraku, Ibu Kandung Suluh Budiman, dan lagu rasmi PERMOR. Program ini telah diketuai oleh Pengarah Program, Christle Cavila Anak John Benger. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Nurul Nadia Ibrahim, Penasihat Persatuan Pendidikan Moral Sidang 2024/2025 dan Natasia Low Ai Yun Timbalan Yang Di Pertua Persatuan Pendidikan Moral Sidang 2024/2025 yang turut memberi sokongan moral kepada para peserta sepanjang program berlangsung.

Program ini bertujuan memastikan akses kepada makanan yang berkhasiat bagi mahasiswa yang kurang berkemampuan, di samping mengurangkan stigma terhadap golongan yang memerlukan bantuan. Program ini juga bertujuan meningkatkan kemahiran pengurusan dan kepimpinan dalam kalangan pelajar melalui penglibatan secara langsung dalam penganjuran.

Sebahagian besar aktiviti berlangsung di hadapan bangunan Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), di mana para ahli jawatankuasa (AJK) bergerak mengedarkan makanan percuma kepada mahasiswa. Ini bukan sekadar agihan fizikal, tetapi simbol solidariti dan kasih sayang sesama insan. Program turut memberi tumpuan kepada refleksi kendiri oleh AJK serta sesi fotografi sebagai kenangan momen penuh makna ini.
Dari segi matlamat pembangunan mampan (SDG), program ini menyokong SDG2 (Tiada Kelaparan) dan SDG3 (Kesihatan dan Kesejahteraan). Ia membuktikan komitmen UPSI dalam mendidik mahasiswa bukan hanya cemerlang dalam akademik, tetapi juga prihatin terhadap masyarakat.
Penglibatan aktif pelajar dalam setiap lapisan tugasan membuktikan bahawa semangat sukarelawan dan empati dapat dipupuk melalui tindakan nyata, bukan sekadar retorik. Melihat kepada kejayaan penganjuran kali ini, Persatuan Pendidikan Moral telah menetapkan bahawa ‘Dialogue & Dine To Embrace The Empathy’ akan dijadikan sebagai program tahunan yang wajib disertai oleh ahli persatuan dan terbuka kepada semua warga UPSI.
Program ini diharap menjadi pemangkin kepada inisiatif serupa di masa hadapan dan menjadi platform membentuk mahasiswa yang bukan sahaja bijak akal, tetapi juga besar jiwa.
