Oleh: Nur Fatin Najwa Muhamad Nur Efendi
Tanjong Malim, 22 Mei 2025- Susulan kejayaan beberapa siri bengkel teori yang lalu, Persatuan Bimbingan dan Kaunseling (KASIH),Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneruskan inisiatif pengayaan ilmu melalui program dalam talian bertajuk ‘Creative Approaches in Child Counseling‘.
Program ini berjaya menghimpunkan hampir 400 peserta dari pelbagai latar belakang termasuk pelajar kaunseling, guru bimbingan dan kaunseling, serta pengamal kaunseling dari seluruh negara dengan fokus kepada pendekatan inovatif dalam menyantuni keperluan emosi serta psikososial kanak-kanak melalui kaunseling. Bengkel ini diadakan secara atas talian melalui platform Google Meet bermula jam 8.00 malam sehingga 9.30 malam. Bengkel ini merupakan satu lagi inisiatif yang dianjurkan oleh KASIH bagi meningkatkan pemahaman teori dalam kalangan pelajar bidang kaunseling dengan fokus utama untuk mengaplikasikan pendekatan kreatif dalam intervensi kaunseling kanak-kanak.
Kejayaan program ini membuktikan minat dan keperluan yang tinggi terhadap kaedah inovatif dalam membantu klien kanak-kanak secara lebih berkesan. Kesinambungan program ini bertujuan memberi ruang kepada peserta untuk mengembangkan pemahaman teori yang dipelajari kepada bentuk amalan yang lebih bersifat praktikal dan kontekstual. Pendekatan seperti terapi seni, permainan terapeutik, dan teknik naratif antara kaedah yang diketengahkan dalam sesi tersebut. Program ini bukan sahaja dirangka untuk menyediakan ruang selamat dan sistem sokongan kepada kanak-kanak, malah untuk membantu kanak-kanak mengenal pasti, mengurus emosi mereka, membina kemahiran sosial yang positif serta mengembangkan keyakinan diri agar mereka dapat membesar dengan sihat dari segi mental dan emosi. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk memperkasakan peranan ibu bapa dan guru dalam menyokong perkembangan emosi kanak-kanak melalui pendidikan dan latihan.

Penasihat Persatuan Bimbingan dan Kaunseling (KASIH), Dr. Pau Kee dalam ucapannya menyatakan, “Kita tahu bidang kaunseling ini mempunyai skop yang sangat luas dan kaunseling kanak-kanak merupakan satu skop yang menjadi satu bidang yang semakin popular,” katanya.
“Saya percaya program ini sangat penting terutamanya pada zaman sekarang dan kita tahu, untuk menyelami dunia kanak-kanak memerlukan satu set kemahiran yang berbeza. Dia bukan seperti kita berurusan dengan klien dewasa lain. Tetapi, ia memerlukan pendekatan yang melibatkan kreativiti kita sebagai kaunselor dan memerlukan kita untuk turun ke tahap kanak-kanak itu supaya kita boleh berkomunikasi dengan baik sekaligus membantu mereka secara menyeluruh,”tambahnya lagi.

Pensyarah Jabatan Bimbingan dan Kaunseling UPSI merangkap penceramah jemputan, Dr. Norsayyidatina Che Rozubi dalam slot bengkelnya menyatakan, “Kita perlu mengenal pasti emosi klien kerana dia telah datang berjumpa dengan anda untuk berkongsi isu yang dihadapi. Jangan sesekali merendahkan isu klien walaupun isu itu sangat kecil pada anda, tetapi isu itu sangat besar dan serius pada zaman kanak-kanak. Jadi, kita perlu validate apa yang dilalui oleh kanak-kanak itu sendiri,” katanya.
“Bila dah boleh kenal pasti, baru kita boleh pakai tools. Kaunselor tidak perlu pakar dalam sesuatu art itu. Kreatif itu perlu berbeza-beza kerana kanak-kanak suka bermain. Itu yang paling penting. Dalam approach creative ini, dia adalah satu yang unik dan tidaklah terlalu berstruktur. Proses kaunseling itu sama sahaja. Cumanya, menggunakan pendekatan ini dapat membantu sesi itu menjadi cepat, mudah dan sesuai dengan perkembangan kanak-kanak itu,”tambahnya lagi.
Slot bengkel disampaikan sepenuhnya oleh Dr. Sayyidatina Che Rozubi, penceramah jemputan bagi siri bengkel ini. Bengkel ini dihadiri hampir 400 orang peserta yang terdiri dalam kalangan pelajar, guru, pegawai dan kaunselor bukan sahaja dari IPTA malah turut disertai dari IPTS dan IPG di Malaysia.
Program ini turut dihadiri oleh Dr. Pau Kee, Penasihat KASIH UPSI sidang 2024/2025, Dr. Norsayyidatina Che Rozubi, Pensyarah Bimbingan dan Kaunseling merangkap pemangku Ketua Jabatan Bimbingan & Kaunseling, Fakulti Pembangunan Manusia, dan Shivendren A/L Selvakumar, Yang Di-Pertua Persatuan Bimbingan dan Kaunseling UPSI sidang 2024/2025.
