TANJONG MALIM, 9 Jun 2025– Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima kunjungan hormat daripada delegasi Kolej Felcra semalam dalam usaha memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua institusi pendidikan.
Kunjungan itu merupakan lawatan balas selepas pihak FTV mengadakan kunjungan ke Kolej Felcra pada Februari lalu, sekali gus membuka ruang kepada perbincangan mendalam mengenai pelbagai bentuk kerjasama, khususnya dalam bidang pertanian.

Delegasi Kolej Felcra diketuai Ketua Eksekutif, Tuan Haji Eisa bersama Pengarah Akademik, Syazwani Arbaiyah Mohd Shahir; Dekan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Azlizul Abdul Rahim serta wakil Bahagian Komunikasi Korporat dan Pemasaran, Muhammad Fitri Abd Hamid.
Antara fokus utama pertemuan itu adalah cadangan pelaksanaan program 2u1i di Kolej Felcra yang bakal dibangunkan dengan kerjasama FTV UPSI sebagai rakan konsultasi. Selain itu, beberapa potensi lain turut dibincangkan termasuk pembangunan produk inovasi, penyelidikan bersama, khidmat komuniti serta penerbitan.
Pengarah Akademik UPSI, Prof Madya Dr Ridzwan Che Rus berkata, pihak universiti sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai agensi dan industri dalam usaha memperkukuh kualiti program pengajian.
“Kerjasama ini mampu meningkatkan pembangunan kepakaran dalam bidang tertentu serta penghasilan produk inovatif yang memberi nilai tambah kepada pelajar dan institusi,” katanya.
Sementara itu, Dekan FTV, Prof Madya Dr Muhammad Azlan Muhammad Hussain berkata, jalinan kerjasama dengan Kolej Felcra dapat mewujudkan ekosistem pendidikan yang lebih mantap dan melahirkan graduan yang bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.


Delegasi Kolej Felcra turut dibawa melawat ke Pusat Latihan Kemahiran Pertanian (PLKP) di Kampus Sultan Azlan Shah yang diketuai Ketua Jabatan Sains Pertanian, Dr Fazhana Ismail dan Ketua Program Pengembangan Pertanian, Dr Shafeeqa Shahruddin.
Lawatan berkenaan membuka lebih banyak ruang perbincangan dan potensi pelaksanaan aktiviti kolaborasi yang dijangka dimulakan dalam masa terdekat.
Hasil kunjungan itu memberi impak positif apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk memeterai kerjasama rasmi yang bakal memacu pembangunan pendidikan teknikal dan vokasional ke tahap lebih tinggi.
