Aktiviti sukan perlawanan persahabatan antara belia Kuala Selangor dan mahasiswa UPSI turut diadakan

TANJUNG KARANG – Persatuan Psikologi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kolaborasi beberapa agensi termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Ampangan Sungai Sireh,  DUN Sungai Burung, Sekolah Kebangsaan Seri Gambut, Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Majlis Perbandaran Kuala Selangor, Pusat Transformasi Komuniti (UCTC), Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Fakulti Teknikal Vokasional (FTV) dan Majlis Perwakilan Pelajar UPSI (MPP UPSI) telah menganjurkan Program Kesejahteraan dan Transformasi Komuniti di Sungai Sireh, Tanjong Karang, Selangor.

Program berbentuk kesukarelawanan ini melibatkan penyertaan seramai 21 orang mahasiswa dari Persatuan Psikologi UPSI dan penduduk setempat dengan objektif utama untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti dan transformasi minda komuniti.

Kaum wanita Kuala Selangor menghadiri kelas penyediaan pencuci mulut yang dibimbing oleh tenaga pengajar dari FTV UPSI

Program yang berlangsung selama dua hari ini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik melibatkan pelbagai lapisan masyarakat. Antaranya ialah slot penyediaan pencuci mulut bersama kaum wanita yang dibimbing oleh Fuad Ashriq Mohamad Farid, Penolong Pegawai Penyediaan Makanan FTV dengan menu utama iaitu tat buah. Aktiviti ini dijalankan di Balai Raya Kampung Ampangan dan bertujuan membuka peluang kepada kaum wanita untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi dengan memulakan perniagaan sampingan secara kecil-kecilan di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama komuniti.

Penyelaras DUN Sungai Burong, Tuan Maruwan Ahmad sebagai perasmi program

Ibu bapa dan penjaga murid Sekolah Kebangsaan Seri Gambut juga turut melibatkan diri dalam sesi perkongsian mengenai kemahiran keibubapaan yang dikemudi oleh Dr. Wan Nurul Izza Wan Husin, pensyarah di Jabatan Psikologi, FPM UPSI. Sesi ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada ibubapa mengenai kepentingan mengawal penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak. Topik perbincangan ini amatlah penting dalam menangani isu ketagihan gajet yang semakin berleluasa dalam kalangan generasi muda masa kini. Sebagai tanda penghargaan kepada para peserta yang hadir, pihak penganjur turut menyediakan cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik seperti beras, minyak masak, gula dan barangan asas lain.

Program ini turut menampilkan sesi istimewa bertajuk “Kenali Potensi Diri dan Minat Kerjaya” yang diadakan khusus untuk murid-murid Sekolah Kebangsaan Seri Gambut. Sesi ini bertujuan untuk membantu para murid mengenalpasti potensi diri dan kecenderungan minat kerjaya melalui pendekatan didik hibur (edutainment).

Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja memberi pendedahan awal tentang pelbagai pilihan kerjaya, malah turut merangkumi elemen penting seperti pembinaan keyakinan diri dan pengukuhan kemahiran bekerja dalam kumpulan. Turut hadir adalah Guru Besar SK Seri Gambut, Azizah Ajis.

Sebahagian mahasiswa UPSI dan belia Sungai Sireh yang terlibat membersihkan tali air
Prof. Madya Dr. Abdul Halim Masnan (dua dari kanan) turut menyertai aktiviti pembersihan tali air

Selain itu, slot aktiviti kesedaran penjagaan alam sekitar turut diadakan. Slot ini memberi peluang kepada masyarakat setempat dan mahasiswa UPSI untuk turut sama membersihkan tali air di kawasan tersebut yang dicemari dengan tong racun pertanian, plastik baja dan sampah sarap yang lain.

Program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak aktiviti kesejahteraan komuniti pada masa akan datang, sekali gus memperkukuhkan jalinan kerjasama dari UPSI kepada komuniti. Ia juga menyediakan ruang kepada mahasiswa dan anak muda setempat untuk memupuk rasa tanggungjawab terhadap kesejahteraan komuniti.