10 Jun, Puncak Alam – Sekumpulan mahasiswa UPSI telah berjaya melaksanakan program khidmat masyarakat berasaskan pendekatan pembelajaran perkhidmatan di Sekolah Menengah Az-Zahrawi, Puncak Alam pada 10 Jun 2025. Pengarah program, Muhammad Hakim Azman berkata, program ini merupakan sebahagian daripada kerja kursus yang perlu dilaksana sebagai sebahagian dari markah kursus. Manakala penasihat program, Ts. Salman Firdaus Sidek berkata program ini merupakan sebahagian dari inisiatif pembelajaran berimpak tinggi seperti yang disarankan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Matlamat utama program ini adalah untuk membuka ruang kepada mahasiswa berkongsi ilmu dan kemahiran dalam bidang senibina komputer kepada masyarakat, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah swasta. Ia juga bertujuan memupuk jati diri mahasiswa melalui pengalaman pembelajaran secara langsung di lapangan.
Aktiviti berbentuk permainan interaktif yang menyeronokkan dan mendidik adalah antara aktiviti yang dijalankan termasuklah sesi menjawab pantun secara spontan, permainan dadu berteraskan soalan pengetahuan am, serta membaling bola ke dalam mangkuk yang mengandungi pelbagai cabaran. Aktiviti seperti ini berjaya menarik minat dan penglibatan aktif pelajar.

Guru-guru turut menyatakan sokongan dan berharap program sebegini dapat diteruskan secara berkala. Pendekatan pembelajaran perkhidmatan terbukti efektif dalam membina hubungan antara universiti dan masyarakat. Ia bukan sahaja memperkasa pelajar universiti sebagai agen perubahan, malah memperkaya pengalaman pembelajaran golongan sasar melalui pendekatan yang menyeronokkan dan bermanfaat.