Oleh: Prof Madya Dr. Hanifah Mahat & Dr. Mohammad Azri Amatan
Tanjung Malim, 11 Jun 2025 – Buat julung kalinya, 1ST International Innovation Competition in Social Sciences on Education (IINOSAS 2025) anjuran Jabatan Geografi dan Alam Sekitar (JGAS), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpunkan sebanyak 318 penyertaan dari pelbagai peringkat pendidikan dan institusi dalam dan luar negara.


Acara bertaraf antarabangsa ini turut melibatkan kerjasama erat dengan dua universiti ternama dari Indonesia, iaitu Universitas Negeri Yogyakarta (UNY) dan Universitas Negeri Semarang (UNNES). Hubungan akademik yang kukuh antara JGAS dan institusi luar negara ini menjadi pemangkin kejayaan penganjuran IINOSAS 2025.
Penganjuran IINOSAS 2025 bertujuan menyediakan platform inovatif kepada para pendidik, penyelidik, pelajar, dan profesional pendidikan untuk berkongsi idea serta memperkenalkan penyelesaian baharu dalam menangani cabaran pendidikan masa kini. IINOSAS 2025 membuka peluang luas kepada peserta dari peringkat sekolah rendah hingga ke institusi pengajian tinggi untuk menonjolkan hasil inovasi masing-masing.

Oleh Dekan FSK, Prof. Madya Ts. Dr. Nor Kalsum Mohd Isa
Acara ini menumpukan kepada empat objektif utama, iaitu meningkatkan inovasi dalam pendidikan, memperluaskan kolaborasi global, mengiktiraf idea inovatif dan mendorong penyelidikan serta pembangunan (R&D).
Lebih menarik, IINOSAS 2025 turut menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, termasuk: SDG 4: Pendidikan berkualiti dan inklusif. SDG 17: Memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam pendidikan dan penyelidikan, serta SDG 13: Pendidikan berkaitan kelestarian dan tindakan terhadap perubahan iklim. Penganjuran ini juga memberi fokus kepada tema utama iaitu pendidikan inklusif, mampan dan berkualiti, selaras dengan aspirasi pembangunan nasional dan global.
Pertandingan IINOSAS 2025 dibahagikan kepada lima kategori utama, iaitu Inovasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), Inovasi Murid Sekolah (Rendah dan Menengah), Inovasi Penyelidikan, Inovasi Kajian Tindakan dan Inovasi Mahasiswa.
Setiap kategori akan dipertandingkan berdasarkan penilaian profesional yang telah ditetapkan. Para pemenang akan menerima pengiktirafan dalam bentuk Anugerah Emas, Perak dan Gangsa. Selain itu, turut disediakan Anugerah Poster Terbaik dan Anugerah Video Terbaik sebagai penghargaan khas kepada penyertaan yang menyerlah dari segi persembahan visual dan kreativiti.
Penilaian berlangsung dari 30 Mei hingga 09 Jun 2025, manakala pengumuman rasmi pemenang dilakukan secara dalam talian pada 11 Jun 2025.

Majlis Perasmian dan Penutupan telah disempurnakan secara atas talian oleh Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff, yang turut menyatakan penghargaan atas usaha merakyatkan inovasi pendidikan melalui kolaborasi antarabangsa.