Oleh: Siti Aisyah Mohd Nabil dan Norrulkamari Daud

Tanjong Malim, 11 Jun 2025 – Program Penasihatan Akademik merupakan aktiviti tahunan yang diadakan pada setiap semester pengajian pelajar. Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) mengambil langkah proaktif dengan peluang dan ruang yang ada untuk bersama-sama pihak pengurusan fakulti, barisan pensyarah Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK) dengan mahasiswa Program PAKK yang melibatkan seluruh pelajar Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

Program yang berlangsung dengan jayanya di Dewan Kuliah Pusat 1, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAS) itu dikendalikan oleh Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (DPAKK) melalui kerjasama Persatuan Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK).

Antara objektif utama perlaksanaan Program Penasihatan Akademik adalah untuk menyampaikan maklumat, berkongsi serta berbincang tentang hal ehwal akademik pelajar seperti struktur pengajian, prestasi akademik dan seumpamanya di samping dapat mengeratkan lagi hubungan yang baik antara pensyarah dengan pelajar. Pensyarah juga dapat mengenal pasti masalah dan mencari solusi melalui perbincangan bersama dengan pelajar di bawah penasihatan masing-masing.

Antara pengisian awal program ini ialah bacaan Yaasin dan Tahlil diadakan khusus untuk mendoakan mangsa-mangsa kemalangan Gerik beberapa hari yang lalu yang melibatkan seramai 15 pelajar UPSI meninggal dunia termasuk tiga orang pelajar dari FPM. Sesi ini berlangsung dalam suasana yang pilu dan penuh keinsafan, memberi ruang kepada semua yang hadir untuk bermuhasabah dan memperingati pemergian rakan-rakan yang terlibat dalam tragedi tersebut.

Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Dekan FPM, Prof. Madya Dr. Abdul Talib Mohamed Hashim. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa penghargaan terhadap komitmen pelajar dan pensyarah PAKK dengan menekankan kepentingan nilai kesejahteraan dan kebersamaan. Tambahan dengan apa yang baru sahaja berlaku tragedi tragis yang meragut nyawa pelajar UPSI baru-baru ini, beliau mengingatkan pada semua mahasiswa agar menghargai peluang belajar ini dengan sebaik mungkin dan memperingati pengorbanan yang diberikan oleh ahli keluarga kepada mereka untuk berjaya. Dengan nada penuh emosi, beliau berkongsi tentang doa seorang pelajar yang terselamat daripada kemalangan tersebut, yang menyatakan hasratnya untuk terus hidup demi mengejar cita-cita menjadi seorang pendidik. Pesanan beliau kepada para pelajar cukup menyentuh hati, iaitu supaya mereka membawa semangat rakan-rakan yang telah pergi dan terus berusaha menjadi pendidik yang cemerlang dan berjiwa besar, sambungnya lagi.

Slot taklimat tatatertib bersama Suhaimi  Zulkipli daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UPSI dengan menyampaikan maklumat mengenai kesalahan lazim dan peraturan UPSI yang sememangnya perlu dipatuhi oleh mahasiswa UPSI. Perkongsian selama satu jam itu dipenuhi yang dikongsi bersama pengalaman beliau mengendalikan kes salah laku pelajar dan juga sesi soal jawab bersama mahasiswa.

Prof. Madya Dr. Abdul Halim bin Masnan selaku Timbalan Dekan HEPA, FPM juga berkesempatan menyampaikan sedikit ucapan dengan berkongsi tentang kecemerlangan pelajar PAKK serta meniup semangat mahasiswa agar terus berusaha membanggakan diri, jabatan, fakulti serta UPSI tercinta ini. Ucapan diakhiri dengan kata-kata oleh Dr. Seah Seok Peh selaku Ketua Jabatan PAKK yang menekankan peranan penasihat akademik adalah membimbing pelajar dalam akademik, membentuk akhlak yang baik dan peribadi mulia. Program berakhir dengan sesi perjumpaan pelajar bersama Penasihat Akademik masing-masing di sekitar lokasi program.

Program Penasihatan Akademik berjaya mencapai objektif utamanya iaitu memperkukuh hubungan pelajar dan penasihat akademik, mengeratkan silaturahim antara pelajar pelbagai semester serta memupuk komitment yang baik. Program ini juga memberi peluang kepada pelajar mendapatkan bimbingan akademik dan psikososial sekaligus membantu mereka merancang laluan kerjaya dengan lebih jelas. Impaknya, pelajar kini lebih sedar tentang saluran komunikasi yang betul bersama penasihat akademik dan lebih akrab dengan rakan seperjuangan daripada program yang sama. Semoga program yang bermanfaat ini dapat diteruskan menjadi satu legasi jabatan atau fakulti dari semester ke semester, dari tahun ke tahun.