Oleh: Muhammad Firdaus Muhamad, Siti Syazwiena Kamarudin & Prof. Madya. Dr. Syakirah Samsudin
Tanjung Malim, 24 Mei 2025 – Program PhysioEduCare: Wellness Awareness – Karnival Pemakanan Sihat, Komuniti Sejahtera telah berlangsung dengan jayanya di Klinik Desa Behrang Ulu. Program ini dianjurkan oleh mahasiswa kursus Fisiologi Haiwan (SBF3033) Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama strategik bersama Pejabat Kesihatan Daerah Muallim serta Klinik Desa Behrang Ulu.
Program ini merupakan inisiatif di bawah rangka kerja SULAM (Service-Learning Malaysia – University for Society), yang menyasarkan peningkatan kesedaran kesihatan dalam kalangan komuniti melalui pendekatan pendidikan yang interaktif dan inklusif. Empat subprogram utama telah dijalankan iaitu War on Sugar, 1000 Hari Pertama Kehidupan, Anak Malaysia Sihat dan Healthy Eating Responsibility (HER). Setiap aktiviti dirangka untuk mendekati pelbagai lapisan masyarakat dengan objektif menyampaikan ilmu kesihatan secara praktikal dan menyeronokkan. Tambahan pula, aktiviti menarik seperti senamrobik bersama komuniti dan pemeriksaan kesihatan secara percuma turut diadakan bagi menambah manfaat dan menceriakan suasana program.
Program ini diterajui oleh Muhammad Firdaus Muhamad selaku Pengarah Program, dibimbing oleh Profesor Madya Dr. Syakirah Samsudin selaku pensyarah kursus Fisiologi Haiwan dan disokong oleh 31 mahasiswa pelaksana. Menurut Firdaus dalam ucapan alu-aluan, “Program ini bukan sahaja menjadikan ilmu kuliah lebih bermakna tetapi juga membuka ruang untuk mahasiswa menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan komuniti.”

Sepanjang program berlangsung, pengunjung telah berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik,
NutriRace – Aktiviti yang menjadi tarikan utama, di mana peserta yang terdiri daripada kanak-kanak dibahagikan kepada kumpulan dan bergerak dari satu stesen ke satu stesen untuk menyelesaikan cabaran berkaitan ilmu pemakanan. Setiap stesen mengandungi aktiviti berbentuk permainan seperti “Kenali Piramid Makanan”, “Teka Label Gula Tersembunyi” dan “Pilih Menu Sihat”. Keriuhan sorakan, semangat kerjasama dan kreativiti peserta menjadikan aktiviti ini sangat meriah dan mendidik dalam masa yang sama mendidik golongan muda tentang kepentingan menjaga kesihatan dari segi pengambilan makanan seimbang.
Pertandingan Memasak HER (Healthy Eating Responsibility) Pertandingan ini memberi fokus kepada pemakanan sihat ibu berpantang. Para peserta yang terdiri daripada wanita yang merupakan suri rumah dan wanita bekerja dalam komuniti tempatan menunjukkan bakat mereka dengan menghasilkan hidangan yang berkhasiat tetapi lazat, menggunakan bahan tempatan yang mudah didapati dan bernutrisi tinggi. Juri terdiri daripada pakar pemakanan dari KESUMA (Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu Daerah Muallim) turut memberikan maklumbalas membina dan berilmiah mengenai kandungan dan khasiat makanan. Suasana dapur mini yang diwujudkan menjadi tumpuan ramai, malah wujud rasa bangga apabila hasil masakan mereka dinikmati oleh pengunjung lain.
Pameran Interaktif War on Sugar & 1000 Hari Pertama Kehidupan Kedua-dua pameran ini menggunakan bahan visual interaktif dan teknologi mudah alih seperti kod QR, infografik dan model untuk menarik minat pengunjung. Pameran Interaktif War on Sugar menyediakan model mini tubuh manusia untuk menerangkan kesan pengambilan gula berlebihan serta pentingnya pemakanan seimbang pada awal kehidupan kanak-kanak. Ibu bapa dapat meluangkan masa bertanya soalan dan menyertai kuiz pantas di booth. Pameran 1000 Hari Pertama Kehidupan pula menyediakan bahan pameran bagi mendidik pengunjung tentang kepentingan susu ibu dan keperluan kemudahan penyusuan bagi wanita-wanita yang bekerjaya.
Podcast Kesihatan, Risalah Digital & Sesi Reflektif Mahasiswa menghasilkan podcast berkaitan topik 1000 Hari Pertama Kehidupan yang memberi penerangan secara khusus mengenai pemakanan ibu hamil, tips untuk ibu yang bekerja, kelebihan susu ibu dan penjagaan kesihatan mental ibu, yang dimainkan sepanjang program melalui komputer riba serta boleh diakses melalui kod QR. Sesi reflektif yang dikendalikan oleh AJK yang terlibat daripada mahasiswa membolehkan pengunjung berkongsi pengalaman dan azam baru dalam mengamalkan gaya hidup sihat. Turut menarik ialah risalah digital yang direka khas dalam format mesra telefon pintar, menjadikan maklumat lebih mudah diakses selepas program dan pemberian pamplets secara percuma kepada semua yang hadir ke reruai untuk dibaca dan dibawa pulang.
Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Dr. Normaskinah Yahya, wakil Pegawai Kesihatan Daerah Muallim. Dalam ucapan ringkasnya, beliau menzahirkan penghargaan kepada mahasiswa UPSI dan pasukan penganjur kerana berjaya melaksanakan program yang begitu tersusun dan memberi impak langsung kepada komuniti.
Penglibatan Puan Ili Dalila Tajudin (Unit Pemakanan, Pejabat Kesihatan Daerah Muallim) dan wakil daripada KESUMA, turut menjadi tunjang kejayaan program ini. Mereka bersama-sama membantu dalam urusan penyelarasan logistik dan perhubungan komuniti, malah turut menyumbang idea dalam merangka atur cara program yang bersifat mesra komuniti dan berimpak tinggi. Keprihatinan dan kesungguhan mereka menjadi inspirasi kepada para mahasiswa yang terlibat.
Program ini turut menerima kunjungan daripada delegasi Universitas Negeri Padang (UNP), Indonesia, yang terdiri daripada dua pelajar dan seorang pensyarah. Kehadiran mereka menambah elemen silang budaya dan pertukaran pandangan yang sangat bermakna, khususnya dalam memperluas jaringan kerjasama serantau dalam aspek pendidikan komuniti.

Seramai lebih 200 pengunjung termasuk komuniti setempat, pelajar dan petugas kesihatan telah menghadiri program ini. Berdasarkan maklum balas yang diterima, majoriti peserta menyatakan bahawa mereka lebih peka terhadap isu pemakanan dan kesihatan selepas menghadiri program ini. Malah, sesi soal selidik pra dan pasca aktiviti turut menunjukkan peningkatan pengetahuan dan sikap positif terhadap amalan gaya hidup sihat.
Program ini menjadi bukti bahawa penglibatan mahasiswa dalam aktiviti berteraskan komuniti mampu memberi impak yang besar dalam memperkasakan masyarakat. Ia bukan sahaja memperlihatkan semangat solidariti antara warga universiti dan komuniti, malah turut menyemai nilai empati, kepimpinan serta tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa UPSI.