Oleh: Nur Farzana Abd Rashid

TANJONG MALIM, 31 Mei 2025 – Program Career Compass: Menelusuri Arah Masa Depan yang dianjurkan dengan penuh berwibawa oleh Kelab Sahabat Ulul Albab UPSI dengan kerjasama Pusat Ulul Albab, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), telah berjaya membuka cakrawala pemikiran mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam merencana laluan kerjaya mereka.

Bertempat di Pusat Pelajar, Kampus Sultan Azlan Shah, program ini menghimpunkan pelbagai slot interaktif dan bermanfaat yang menjurus kepada pembangunan kompetensi diri mahasiswa sejajar dengan keperluan dunia pekerjaan masa kini yang kian mencabar dan dinamik.

Guru Menawan, Generasi Cemerlang, Program dimulakan tepat jam 9.00 pagi dengan forum bertajuk “How to Be an Attractive Teacher” yang menampilkan dua tokoh unggul dalam bidang pendidikan, Ustaz Lokman Annas Othman, Pengetua MRSM Langkawi dan Dr. Abu Zarrin Selamat, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Sains dan Kemanusiaan (FSK), UPSI.

Forum ini membuka perbincangan mendalam tentang peranan guru sebagai pembina karakter murid serta agen perubahan masyarakat. Ustaz Lokman menekankan peri pentingnya akhlak mulia, komunikasi berkesan dan karisma dalam diri seorang pendidik, manakala Dr. Abu Zarrin menyorot keseimbangan antara kecemerlangan ilmu dan pembentukan sahsiah sebagai kunci menjadi pendidik abad ke-21.

Pengisian slot “Let’s Talk With PERKESO”

PERKESO Dekatkan Mahasiswa dengan Dunia Kerjaya, Slot kedua bertajuk “Let’s Talk with PERKESO” memberi pencerahan kepada peserta berkenaan fungsi PERKESO dalam aspek perlindungan sosial serta peluang pekerjaan yang ditawarkan menerusi platform MyFutureJobs.

Sesi yang berlangsung secara interaktif ini memperkenalkan pelbagai manfaat keselamatan sosial kepada mahasiswa, di samping memberi bimbingan tentang bagaimana PERKESO berperanan membantu graduan memperoleh pekerjaan melalui khidmat nasihat dan penempatan kerja secara profesional.

Slot ketiga “Tips Lulus Temuduga SPP” yang disampaikan oleh Azlina Mohd Mokhtar

Rahsia Lulus Temuduga SPP Didedah, Slot ketiga yang dinanti-nantikan hadir pada sebelah petang menerusi perkongsian “Tips Lulus Temuduga SPP” oleh Azlina Mohd Mokhtar, Penolong Setiausaha, Bahagian Pengambilan, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

Dalam sesi penuh informasi tersebut, Puan Azlina menjelaskan aspek utama yang dinilai semasa sesi temuduga seperti penguasaan pedagogi, pemahaman dasar pendidikan negara, etika komunikasi dan personaliti calon. Beliau turut berkongsi teknik persediaan temuduga yang praktikal dan memberi impak besar kepada para peserta – terutamanya bakal guru yang hadir dengan semangat dan harapan tinggi.

Pengalaman Ilmu yang Bermakna, Program Career Compass: Menelusuri Arah Masa Depan bukan sekadar acara, tetapi merupakan medan pembinaan jati diri, keyakinan dan hala tuju yang lebih jelas buat mahasiswa UPSI. Kehadiran tokoh-tokoh berpengalaman, kandungan slot yang sarat informasi dan penglibatan aktif peserta menjadikan program ini satu pengalaman bermakna yang bakal menjadi bekal penting dalam dunia kerjaya kelak.

Semoga segala ilmu dan inspirasi yang diperoleh dapat diterjemah dalam tindakan, seterusnya melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga unggul sebagai insan berintegriti dan berdaya saing tinggi.