Oleh: Muhammad Asyraaf Najmi Mohd Azman & Intan Suria Binti Hamzah
Melaka, 16 November 2026 – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 yang berlangsung pada 14 November 2026 menyaksikan persaingan politik yang menarik dalam usaha parti-parti bertanding mendapatkan mandat rakyat bagi membentuk kerajaan negeri. Keputusan pilihan raya kali ini bukan sahaja memperlihatkan kedudukan parti politik, malah turut mencerminkan perubahan corak sokongan pengundi di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sebagai seorang pelajar Sarjana Politik dan Tadbir Urus di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta pengundi di DUN N11 Sungai Udang, saya mengambil kesempatan untuk mengikuti perkembangan pilihan raya ini secara dekat. Pengalaman tersebut memberikan perspektif tersendiri dalam memahami proses demokrasi, khususnya dari sudut persaingan calon, kecenderungan pengundi dan kepentingan mandat rakyat dalam menentukan kepimpinan negeri.
BN Kekalkan Penguasaan di Melaka
Secara keseluruhannya, PRN Melaka ke-16 menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan penguasaan dengan memperoleh 21 daripada 28 kerusi DUN. Perikatan Nasional (PN) pula memperoleh tiga kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi empat kerusi. Keputusan tersebut membolehkan BN terus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga. Seramai 493,573 pengundi atau 71.77 peratus daripada keseluruhan pemilih berdaftar telah menunaikan tanggungjawab mereka dalam pilihan raya kali ini.
Antara perkembangan yang menarik perhatian ialah perubahan keputusan di tiga kawasan DUN, iaitu Sungai Udang, Paya Rumput dan Bukit Katil. Selain itu, BERSATU yang bertanding di tujuh kawasan menggunakan logo parti sendiri gagal memperoleh sebarang kerusi. Keputusan ini memperlihatkan persaingan politik yang masih mencabar bagi parti-parti pembangkang dalam mendapatkan sokongan pengundi di Melaka.
N11 Sungai Udang: Pertembungan Tiga Penjuru dan Kemenangan Besar BN
Antara kawasan yang paling menarik perhatian saya ialah N11 Sungai Udang yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN-UMNO, Datuk Rais Yasin, calon BERSATU, Mejar (B) Abdullah Mahadi dan calon BERSAMA, Mohd Ridzuan Abdul Rahman. Sebelum hari pengundian, saya telah membuat pemerhatian awal bahawa Datuk Rais Yasin mempunyai kelebihan dari segi ketokohan, pengalaman dan populariti politik. Walaupun beliau sebelum ini merupakan ADUN Paya Rumput dan bukannya Sungai Udang, faktor pengenalan nama serta pengalaman politik beliau dilihat berpotensi menarik sokongan pengundi setempat.
Pada masa yang sama, calon BERSAMA, Mohd Ridzuan Abdul Rahman yang merupakan anak jati Sungai Udang juga mempunyai kelebihan tersendiri melalui faktor hubungan dengan masyarakat setempat dan sokongan akar umbi. Sementara itu, calon BERSATU, Mejar (B) Abdullah Mahadi turut memberikan persaingan dalam pertandingan tiga penjuru tersebut. Keputusan rasmi pilihan raya memperlihatkan kemenangan yang jauh lebih besar kepada calon BN. Datuk Rais Yasin berjaya memperoleh 18,317 undi, diikuti Mejar (B) Abdullah Mahadi dengan 2,103 undi dan Mohd Ridzuan Abdul Rahman dengan 1,322 undi.
Keputusan tersebut memberikan kemenangan kepada Datuk Rais Yasin dengan majoriti sebanyak 16,214 undi. Kemenangan ini amat menarik untuk diberikan perhatian apabila dibandingkan dengan PRN Melaka 2021. Pada pilihan raya sebelumnya, kerusi N11 Sungai Udang dimenangi calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Mohd Aleef Yusof dengan 6,789 undi dan majoriti hanya 530 undi. Perubahan daripada kemenangan PN pada 2021 kepada kemenangan besar BN pada 2026 memperlihatkan peralihan sokongan politik yang sangat ketara di kawasan tersebut.
Faktor Calon dan Perubahan Sokongan Pengundi
Berdasarkan pemerhatian awal dan keputusan yang diperoleh, kemenangan besar Datuk Rais Yasin boleh dilihat melalui beberapa sudut. Antaranya ialah faktor ketokohan calon, pengalaman politik, penerimaan masyarakat serta kekuatan jentera parti dalam menghadapi persaingan pilihan raya. Walaupun faktor-faktor tersebut berpotensi mempengaruhi keputusan pengundi, kemenangan dengan majoriti yang besar tidak wajar dikaitkan dengan satu faktor semata-mata. Sebaliknya, keputusan tersebut perlu dilihat sebagai gambaran keseluruhan kecenderungan pengundi dalam membuat pilihan berdasarkan pertimbangan masing-masing. Perkara yang lebih menarik ialah perubahan sokongan di N11 Sungai Udang menunjukkan bahawa mandat politik bukanlah sesuatu yang kekal. Pengundi mempunyai kuasa untuk menilai semula kepimpinan dan menentukan wakil rakyat berdasarkan keyakinan serta pertimbangan mereka terhadap calon yang bertanding.
Pengalaman Pengundi dan Kematangan Demokrasi
Sebagai seorang pengundi, pengalaman mengikuti PRN Melaka kali ini memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang kepentingan penyertaan rakyat dalam proses demokrasi. Pilihan raya bukan sekadar pertandingan untuk menentukan parti yang menang atau kalah, sebaliknya merupakan saluran penting bagi rakyat menyuarakan pilihan dan menentukan wakil yang akan membawa kepentingan mereka.
Dari perspektif Politik dan Tadbir Urus, pengalaman ini turut memperlihatkan hubungan antara demokrasi, representasi politik dan akauntabiliti kepimpinan. Mandat yang diberikan oleh rakyat perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan tanggungjawab, penyampaian perkhidmatan yang berkesan serta komitmen terhadap pembangunan masyarakat.
Dalam masa yang sama, kematangan politik perlu terus dipelihara. Perbezaan sokongan dan pandangan politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk menyebarkan sentimen perkauman, penghinaan atau naratif kebencian terhadap calon dan penyokong parti lain. Sebaliknya, persaingan politik perlu berasaskan idea, dasar, kredibiliti dan keupayaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Mandat Rakyat, Amanah Kepimpinan
Secara keseluruhannya, PRN Melaka ke-16 memperlihatkan perkembangan landskap politik yang menarik, khususnya kemenangan besar BN di N11 Sungai Udang selepas kerusi tersebut dimenangi PN pada pilihan raya sebelumnya. Keputusan ini membuktikan bahawa sokongan pengundi boleh berubah dan setiap mandat yang diberikan perlu dihargai.
Bagi saya, pengalaman mengikuti pilihan raya ini sebagai pengundi dan pelajar Sarjana Politik dan Tadbir Urus UPSI merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna. Ia bukan sahaja memberikan peluang untuk memahami proses demokrasi secara lebih dekat, malah membuka ruang untuk menilai realiti politik melalui perspektif akademik dan pengalaman masyarakat.
Akhirnya, kemenangan dalam pilihan raya bukan sekadar kejayaan memperoleh undi, tetapi merupakan amanah besar yang perlu dilaksanakan. Wakil rakyat yang dipilih harus mengutamakan kepentingan masyarakat tanpa mengira latar belakang atau kecenderungan politik. Sesungguhnya, demokrasi yang matang bukan hanya diukur melalui siapa yang menang, tetapi juga melalui kesediaan semua pihak menghormati keputusan rakyat, menerima perbezaan dan bersama-sama membina masyarakat yang lebih harmoni.



