Sesi fotografi bersama para Fasilitator dan tenaga pengajar SMK Tun Mamat.Sesi fotografi bersama para Fasilitator dan tenaga pengajar SMK Tun Mamat.

Oleh : Prof. Madya Dr. Mazlini Adnan, Nurin Yasmin A Zairi, Arisya Nabila Arif, Ibnu Sina Mohd Rashid

Tangkak, Johor, 11 Jun 2025 — Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik) semester 5 yang mengambil kursus Insan Guru Profesional (KPG3013) telah melaksanakan Program PSM: METAMATH: “BEYOND NUMBER, INTO HEARTS”  yang melibatkan seramai 21 orang pelajar dan pensyarah kursus iaitu Prof. Madya Dr Mazlini Adnan dari Jabatan Matematik, Fakulti Sains dan Matematik, UPSI bertempat di SMK Tun Mamat, Tangkak, Johor.

Program ini menyasarkan seramai 41 orang pelajar Tingkatan 2 dengan tujuan memperkenalkan asas Matematik melalui kaedah pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan. Program ini juga bertujuan menyemai minat serta keterujaan terhadap pembelajaran nombor dan bentuk, selaras dengan keperluan STEM.

Fasilitator memantau, menunjukkan cara bermain, dan memantau pelajar SMK Tun Mamat bagi keenam-enam aktiviti yang berjalan sepanjang 2 hari di SMK Tun Mamat

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti menarik berasaskan pembelajaran secara permainan (game-based learning) dan interaksi aktif telah dilaksanakan. Antaranya termasuk slot Math Race, Bingo Blitz, Bowling Mathematics dan Math Whisper, Kunci Persamaan, Math Cube, serta Arrange Math.

Aktiviti-aktiviti ini direka khas untuk meningkatkan keterujaan murid terhadap Matematik melalui pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan dan interaktif. Setiap aktiviti memberi tumpuan kepada pengukuhan kemahiran asas seperti pengiraan, penyelesaian masalah, serta pemahaman topik-topik tingkatan 2.

Penyerahan cenderahati sebagai tanda penghargaan kepada Pengetua SMK Tun Mamat dari pelajar-pelajar UPSI diwakili oleh pengarah program Nurul Halili, serta Fatin Nasuha dan Khair Fahmi
Fasilitator sentiasa bersama pelajar sewaktu aktiviti permainan dijalankan
Fasilitator sentiasa bersama pelajar sewaktu aktiviti permainan dijalankan

Selain menyokong pembelajaran yang berkesan, pendekatan ini juga memupuk nilai murni seperti kerjasama, toleransi, dan keyakinan diri, memandangkan aktiviti dilaksanakan secara berkumpulan untuk menggalakkan semangat kerjasama dan interaksi positif antara murid.

Seiring dengan seruan pembelajaran abad ke-21, pendekatan pembelajaran secara campuran ini dirancang untuk memupuk minat dan keterujaan pelajar dalam memahami konsep nombor. Kaedah ini bukan sahaja membuka ruang penerokaan yang lebih luas, tetapi juga menjadikan pengalaman pembelajaran lebih menarik, interaktif, dan bermakna.

Sesi bergambar semasa penyerahan hadiah kepada pelajar-pelajar SMK Tun Mamat
Sesi bergambar semasa penyerahan hadiah kepada pelajar-pelajar SMK Tun Mamat
Sesi Fotografi pelajar dan tenaga pengajar di SMK Tun Mamat bersama Fasilitator

Melihat kepada impak positif dan keterlibatan aktif pelajar-pelajar dari SMK Tun Mamat, program seperti ini wajar diteruskan dan dijadikan model pelaksanaan untuk program Matematik di masa hadapan.