Oleh: Prof. Madya Dr. Lee Tien Tien dan Dr. Lilia Ellany Mohtar
Tanjong Malim, 30 April 2025 – Pusat STEM dengan kerjasama Chumbaka Sdn Bhd telah menganjurkan Bengkel Train-The-Trainer (TTT) yang disertai oleh 25 orang guru daripada 14 buah sekolah di negeri Perak dan 21 orang pelajar Fakulti Sains dan Matematik (FSM), UPSI yang sebahagiannya merupakan ahli Kelab Pusat STEM Ambassador.
Bengkel ini telah diadakan selama dua hari, iaitu pada 29 dan 30 April 2025 di Bilik Seminar Jabatan Kimia, Blok 2, Aras 1, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, UPSI. Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk memberikan latihan kepada para peserta tentang penggunaan kit Arduino.
Penceramah daripada Chumbaka Sdn Bhd, iaitu Pn. Khoo Su Jen telah memberikan penerangan tentang penggunaan kit Arduino.



Latihan yang diperolehi menerusi bengkel ini juga merupakan persediaan kepada para guru dan pelajar bagi menghasilkan reka cipta produk inovasi menggunakan kit Arduino untuk menyertai pertandingan inovasi (Young Innovators Challenge, YIC2025) pada bulan Julai akan datang.
Selepas menghadiri bengkel ini, para guru akan kembali ke sekolah masing-masing dan membentuk pasukan sekolah, memantau projek reka bentuk pelajar mereka untuk menyertai YIC 2025 dalam bentuk Maker Fairs.
Pelajar FSM pula bertindak sebagai mentor dan setiap mereka dipertanggungjawabkan untuk memberikan bimbingan dan sokongan teknikal kepada tiga sekolah.
Sepanjang bengkel TTT selama dua hari ini, guru dan pelajar FSM telah mula berbincang untuk mendapatkan idea bagi inovasi yang akan direka cipta menggunakan kit Arduino.
Pn. Khoo berkata, sekolah-sekolah ini akan menghantar penyertaan ke YIC 2025 yang akan berlangsung pada Julai 2025 dalam bentuk Makers Fair di UPSI.



Tema bagi YIC2025 adalah AI for Social Good, iaitu peserta perlu menggunakan kecerdasan buatan (KB) untuk menangani masalah dunia sebenar yang dihadapi oleh komuniti.
Peserta dikehendaki mengenal pasti isu yang mendesak dan membangunkan satu penyelesaian menggunakan KB yang mencipta perubahan yang bermakna.
Peserta juga harus mengambil kira bagaimana penyelesaian mereka boleh ditingkatkan untuk memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat yang lebih luas.

Bidang tumpuan yang mungkin termasuk kesihatan, alam sekitar, pendidikan, keselamatan, komunikasi massa dan sebagainya.
