Oleh: WAN AIDA SYAMIMI
SELANGOR, 6 MEI 2025 – Alam sekitar yang sihat merupakan elemen penting dalam pembentukan sahsiah, kesejahteraan dan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat muda.
Justeru, Majlis Mahasiswa Kolej Antarabangsa (MMKA) Sidang 2024/2025 telah menganjurkan program kesedaran alam sekitar bertemakan Aura Paradise: ReGrow Garden yang berlangsung dengan jayanya pada 06 Mei 2025 bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sierramas, Selangor.
Program ini diketuai oleh saudara Chan Weng Jun, Pengarah Program serta disokong oleh barisan jawatankuasa MMKA, felo Kolej Antarabangsa dan tidak lupa juga pihak pengurusan Kolej Antarabangsa.



Menariknya, program ini turut disertai oleh empat orang pelajar antarabangsa iaitu seorang lelaki dan tiga perempuan yang menunjukkan semangat tinggi dalam usaha pemuliharaan persekitaran di samping memupuk hubungan antara komuniti kolej dan sekolah.
Program bermula seawal 06.20 pagi dengan sesi pendaftaran dan sarapan pagi bersama-sama peserta di Hentian Bas Kolej Aminuddin Baki sementara menunggu ketibaan bas.
Para peserta mula bertolak ke SMK Sierramas pada jam 06.25 pagi dan tiba setelah satu jam kemudian akibat kesesakan jalan.
Ketibaan rombongan peserta disambut mesra oleh pihak sekolah sebelum majlis dimulakan secara rasmi dengan ucapan dan aktiviti senamrobik bagi memeriahkan suasana pagi. Sesi senamrobik berlangsung dengan berlatarkan dua lagu iaitu lagu ‘Kelentang Kelentong’ dan ‘Stecu Stecu’.
Slot utama program iaitu Aktiviti ReGrow Garden bermula pada jam 08.00 pagi yang melibatkan aktiviti penanaman semula tumbuhan hiasan, penyusunan semula taman kecil yang dimiliki oleh Kelab & Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) sekolah serta gotong-royong pembersihan kawasan sekitar taman.



Seramai sepuluh orang pelajar SMK Sierramas iaitu enam orang pelajar lelaki dan empat orang pelajar perempuan yang turut serta program ini dari awal hingga akhir.
Aktiviti ini turut menjadi platform perkongsian budaya apabila pelajar antarabangsa diberi ruang untuk berkongsi kaedah dan bercerita mengenai amalan berkebun di negara asal mereka.
Hal ini sekali gus dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara pelajar antarabangsa dan pelajar tempatan kerana mereka saling kenal antara satu sama lain sambil menanam tanaman yang disumbangkan oleh Majlis Perbandaran Selayang.
Menjelang tengah hari, para peserta menjamu selera dalam suasana santai sambil berbincang tentang pengalaman mereka sepanjang sesi menanam dan gotong-royong di Bilik PIBG yang disediakan khas oleh pihak sekolah.
Felo Kolej Antarabangsa, Encik Mohd Saiful Aizam, selaku pengiring bagi program ini tiba di lokasi bagi meninjau hasil kerja tangan para peserta dan melihat sendiri taman yang telah diceriakan.
Beliau sempat meluangkan masa berbual bersama peserta dan menyampaikan kata-kata penghargaan kepada para peserta yang membantu menjayakan program ini.
“Saya bangga dengan usaha kamu semua. Walaupun projek ini kelihatan kecil, namun impaknya besar terhadap alam sekitar dan pembentukan sahsiah mahasiswa. Teruskan usaha seperti ini.”, ujar beliau dengan penuh penghargaan.
Program diakhiri pada jam 12.40 tengah hari dengan perjalanan pulang ke UPSI. Semua peserta bersurai pada jam 01.40 petang.
Salah seorang pelajar antarabangsa, Easin Arafat dari Bangladesh berkata,
“Today’s program is really fantastic because we have done a lot of activities with the kids, and having time with them is a very fantastic thing. The activities that we have done including tree planting is a really, really enjoyable and super interesting experience. If I get any chance in the future to participate in this kind of event, I would love to join again.”
Kata-kata ini mencerminkan betapa besarnya nilai interaksi dan pembelajaran yang diperoleh melalui program berbentuk komuniti dan alam sekitar, bukan sahaja kepada pelajar tempatan, malah turut memberi kesan mendalam kepada pelajar antarabangsa yang menuntut di UPSI.
Felo Kolej Antarabangsa, Encik Hashim, turut mengucapkan tahniah kepada MMKA atas penganjuran program ini.
Aura Paradise : ReGrow Garden menjadi bukti bahawa program berskala kecil boleh memberi impak yang besar apabila dilaksanakan dengan penuh iltizam dan kerjasama. Dari aktiviti menanam pokok hingga membina kebun mini bersama pelajar sekolah, program ini bukan sahaja menghijaukan ruang fizikal, malah menyuburkan nilai kemanusiaan dan kepedulian sosial dalam diri mahasiswa UPSI.
Lebih membanggakan, usaha kecil ini sejajar dengan aspirasi pihak pengurusan universiti untuk melahirkan warga kampus yang cakna terhadap kelestarian alam sekitar. Menurut YBhg. Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, Naib Canselor UPSI:
“Sebagai Naib Canselor UPSI, saya beraspirasi untuk menjadikan universiti ini sebagai institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga proaktif dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Inisiatif hijau dan amalan lestari akan terus diperkukuh demi memastikan kelestarian kampus dan masyarakat sekitar.”
Majlis Mahasiswa Kolej Antarabangsa berharap agar program ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak kolaborasi komuniti yang berorientasikan alam sekitar, seiring dengan visi UPSI sebagai peneraju kecemerlangan pendidikan dan kelestarian masa depan.

