Bukit Jelutong, Selangor, 18 Jun 2025 – Seramai 29 orang pelajar daripada kursus Hubungan Keluarga, Komuniti & Budaya (KAQ3073) Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melaksanakan satu program komuniti yang diberi nama “Celik Komuniti, Cilik Berjaya: Main Dengan Bijak  – Eksplorasi Dunia Cilik!”.

Program ini dijalankan di Tadika Cahaya Cemerlang, Bukit Jelutong, Shah Alam dengan bimbingan pensyarah kursus, Dr. Jamilah Mohd Basir.

Inisiatif ini dilaksanakan di bawah kerangka Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM), yang menyatukan pembelajaran akademik dan khidmat komuniti bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan, bahkan berkemahiran tinggi dalam bidang insaniah serta peka terhadap isu sosial.



Program ini turut menerima sokongan penuh daripada pemilik tadika, Puan Najah, yang telah memberi kebenaran menggunakan fasiliti tadika sepenuhnya. Beliau bersama guru-guru tadika telah memberikan kerjasama erat, termasuk membantu dalam menjaga keselamatan kanak-kanak serta menyelaraskan aktiviti mengikut kesesuaian umur dan keperluan kanak-kanak.

Objektif utama program ini adalah untuk menghubungkan teori akademik dengan realiti masyarakat, memberikan khidmat bermakna kepada komuniti, serta membina kemahiran insaniah pelajar seperti kepimpinan, komunikasi dan kreativiti. Secara tidak langsung, program ini juga menyahut aspirasi SULAM yang menjadikan mahasiswa sebagai agen perubahan dalam masyarakat.