oleh : Nur Azura Daliela

Tanjong Malim, 20 Jun 2025 – Program Jiwa Ilmu Wacana Aspirasi Keguruan (JIWARA) telah dianjurkan oleh EXCO Akademik dan Kerjaya daripada barisan Persatuan Diploma PAKK Sidang 2024/2025 melalui kerjasama Pusat Alumni, UPSI bertujuan untuk memberikan motivasi dan inspirasi kepada mahasiswa/i dalam mencapai kecemerlangan akademik melalui perkongsian pengalaman alumni cemerlang.

Program JIWARA yang telah dianjurkan ini telah berjaya dijalankan menerusi platform atas talian iaitu medium Google Meet.

Pelaksanaan program JIWARA ini adalah salah satu platform yang menjadi medium interaktif untuk memotivasikan dan memberi pendedahan kepada pelajar dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK).

Program ini melibatkan pengisian mengenai kepentingan kecemerlangan akademik dan haluan kerjaya dalam bidang PAKK, terutamanya dalam menghadapi cabaran pasaran kerja yang semakin kompetitif masa kini.

Antara pengisian program yang dilaksanakan adalah berfokuskan pada elemen motivasi, pengalaman praktikal, komunikasi berkesan, dan perkongsian strategi dalam membina kerjaya dalam bidang PAKK.

Objektif utama program JIWARA ini adalah untuk memberikan motivasi dan inspirasi kepada mahasiswa/i di samping berkongsi input kepada pelajar tentang pelbagai pilihan haluan kerjaya selepas tamat pengajian dalam bidang PAKK serta sekaligus dapat memahami cabaran dan peluang dalam pasaran kerja serta cara untuk bersedia menghadapi dunia pekerjaan secara efektif.

Meskipun program JIWARA dijalankan secara dalam talian, namun program ini mampu menarik seramai 350 peserta termasuk alumni, guru-guru awal kanak-kanak dan guru sekolah rendah serta mahasiswa/i UPSI bersama seorang jemputan panel khas iaitu Alumni UPSI daripada program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak tahun 2015, iaitu  Puan Basirah Mahamad @ Abu Bakar, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Basirah.

Perkongsian beliau sebagai panel yang disegani bersama moderator iaitu saudari Fatin Hidayah, berkongsi mengenai “Kejayaan Akademik dan Halatuju Kerjaya dalam PAKK”.

Melalui perkongsian beliau, ada menyatakan tentang kepentingan kecemerlangan akademik dan pelbagai haluan kerjaya dalam bidang PAKK di samping berkongsi pengalaman dalam mengendalikan sebuah tadika penubuhan beliau sendiri di Manjung, Perak.

Penerima Anugerah Guru Inovasi 2025 peringkat Kebangsaan ini telah berjaya mengharumkan nama UPSI sempena sambutan Hari Guru, 16 Mei baru-baru ini.

Program JIWARA ini telah dirasmikan dengan jayanya oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim bin Masnan, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI. Selain itu, turut dihadiri oleh Dr. Seah Siok Peh, Ketua Jabatan, Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, FPM dan juga penasihat Persatuan Diploma PAKK, Puan Norrulkamari Daud turut meriahkan program.

Program berakhir dengan sesi fotografi selepas tamatnya perkongsian dan sesi soal jawab  antara panel jemputn dan para peserta. Tahniah diucapkan kepada semua yang bersama-sama menjayakan program JIWARA ini.

Semoga perlaksanaan program keilmuan mengenai kerjaya seperti ini mampu membantu pelajar memahami cabaran dan peluang dalam pasaran kerja serta memberi panduan dalam membina hala tuju dan kerjaya setelah tamatnya pengajian di UPSI nanti.