Oleh: Nazirul Haizri Ridzuaan
Sabak Bernam, 23 Julai 2025 – Pusat Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneruskan usaha mendekati dan menyantuni para alumni dengan penganjuran Program Kembara Santuni Alumni Anak Kandung Suluh Budiman 2025 yang kali ini berlangsung di Sabak Bernam, Selangor. Program ini dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam dan berjaya menghimpunkan kira-kira 60 alumni dari pelbagai bidang dan era pengajian.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Pusat Alumni untuk menjejak dan mendekati alumni UPSI yang menetap jauh dari kampus utama di Tanjong Malim. Ia memberi peluang kepada alumni di sekitar Sabak Bernam untuk menjalin semula hubungan dengan pihak UPSI dalam suasana santai dan penuh mesra.

Majlis diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat iaitu Dr. Lee Hoi Yeh, Timbalan Pengarah Pusat Alumni UPSI dan Dr. Zakaria Othman, Pegawai Pendidikan Daerah Sabak Bernam. Kehadiran kedua-dua tokoh ini menzahirkan komitmen UPSI dalam memperluas jaringan alumni di peringkat daerah serta mengiktiraf peranan penting alumni dalam memperkukuh nama universiti di persada nasional.


Acara dimulakan dengan sesi pendaftaran dan sambutan ketibaan para tetamu. Seterusnya, majlis rasmi dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh wakil PPD Sabak Bernam, diikuti oleh ucapan wakil Pusat Alumni UPSI. Suasana majlis berlangsung dalam keadaan harmoni dan penuh profesional, dengan penyampaian maklumat berkaitan peranan alumni, peluang penglibatan dalam program universiti serta perancangan kolaborasi masa hadapan.
Antara sorotan menarik program ialah sesi ramah mesra dan perbincangan santai antara alumni dan wakil universiti. Sesi ini membolehkan alumni menyampaikan cadangan, memberikan maklum balas dan berkongsi harapan terhadap hala tuju Pusat Alumni. Selain itu, satu sesi penyampaian cenderamata turut diadakan sebagai tanda penghargaan kepada para alumni dan pihak PPD Sabak Bernam yang terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini.
Program berakhir dengan sesi bergambar antara alumni dan pihak penganjur sebagai simbol kenangan dan komitmen berterusan untuk terus menjalin hubungan erat antara universiti dan para alumninya.
Melalui pendekatan turun padang seperti ini, UPSI terus komited memperkukuh hubungan dengan para alumni di seluruh negara, sekaligus memastikan ikatan yang terbina sejak di kampus terus mekar dan memberi manfaat bersama.
