Oleh: Sofiya Nadiah Baharuddin (Exco Media, Persatuan Psikologi UPSI)
AMPANG JAYA – Lebih ribuan penduduk Ampang Jaya telah membanjiri Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi menjayakan program “Lebih Bersemangat Ke Sekolah” yang menawarkan bantuan barangan persekolahan dan aktiviti mendidik sambil berhibur. Program kolaborasi antara Persatuan Psikologi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Pertubuhan Komuniti Pandan Prihatin, dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) ini turut mendapat sokongan 50 penyumbang daripada pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan individu persendirian.


Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk meringankan beban golongan kurang berkemampuan di sekitar Ampang Jaya melalui konsep Pasar Percuma (Free Market), di samping meningkatkan motivasi dan minat murid untuk ke sekolah. Program ini turut diserikan dengan kehadiran Datuk Zahida Zarik Khan, Pengerusi Yayasan Felda, sebagai tanda sokongan.
Program dimulakan seawal jam 7.00 pagi dengan kehadiran urusetia dan sukarelawan, diikuti ketibaan para penyumbang pada jam 7.45 pagi. Acara rasmi diteruskan dengan taklimat kepada penyumbang, pengunjung, dan penerima. Nyanyian lagu Negaraku serta bacaan doa mengiringi permulaan aktiviti pasar percuma dan lain-lain acara pada jam 9 pagi.

Pelbagai aktiviti menarik telah disediakan untuk menarik minat semua peringkat umur. Murid-murid sekolah rendah berpeluang menunjukkan kreativiti mereka dalam pertandingan melukis dan mewarna. Pelajar sekolah menengah pula diuji pengetahuan mereka melalui pertandingan pop kuiz berkaitan STEM (Science, Technology, Engineering, and Mathematics). Selain itu, pelbagai booth sumbangan juga dibuka untuk NGO dan orang awam bagi menawarkan kelengkapan pakaian sekolah, pakaian kasual kanak-kanak dan remaja, serta buku dan alat tulis.
Selain itu, sesi sembang santai kemahiran keibubapaan bertajuk “Bila anak tidak mahu ke sekolah, maka mak…” turut menjadi tumpuan. Forum ini dikendalikan oleh Noor Azrain sebagai moderator dan Dr. Wan Nurul Izza Wan Husin, pensyarah di Jabatan Psikologi UPSI sebagai ahli panel, membincangkan isu hangat yang sering dihadapi oleh ibu bapa masa kini. Sesi ini mendapat sambutan hangat, dan setiap pengunjung yang aktif mengajukan soalan turut diberikan beras atau minyak masak sebagai penghargaan.


Menurut Encik Mohd Rizal bin Othman, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Pandan Prihatin (PKPP), sambutan terhadap program ini amat luar biasa, dengan kebanyakan pengunjung terdiri daripada golongan B40 dan miskin bandar. “Kami berharap program komuniti bersifat didik hibur seperti ini dapat meningkatkan semangat dan minat murid untuk ke sekolah,” katanya.
Pihak penganjur berharap inisiatif ini dapat terus membantu meringankan beban keluarga yang memerlukan, di samping memupuk semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat setempat. Dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, program “Lebih Bersemangat Ke Sekolah” diharap dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan lebih ramai lagi masyarakat memperoleh manfaat dan sokongan sewajarnya.


