Oleh: Aufa ‘Awatiff Rozaihan dan Dr. Nur Ainul Basyirah Alias

Tanjong Malim, 19 Jun 2025 – Persatuan Pendidikan Islam (PPI), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Sesi 2024/2025 telah menganjurkan program “Protocol Week: Unlock Your Potential” yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat (DKP) 6 dan 7, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS).

Program ini terbuka kepada semua mahasiswa dan mahasiswi UPSI sebagai peserta, dengan penglibatan seramai 30 orang ahli jawatankuasa yang dilantik bagi memastikan kelancaran penganjuran.

Program Protocol Week: Unlock Your Potential merupakan inisiatif berasaskan pertandingan yang menumpukan kepada aspek pengucapan awam dan pengendalian majlis, bertujuan melatih keyakinan diri serta mengasah kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar.

Pada 18 Jun, dua pertandingan utama telah dianjurkan, iaitu Pertandingan Syarahan dan Pertandingan Emcee Duo yang telah menarik penyertaan seramai 17 orang peserta.

Melalui pertandingan ini, para peserta berpeluang menonjolkan bakat masing-masing dan meraih pengalaman berharga di peringkat universiti.

Program ini bertujuan memberikan sokongan dan dorongan kepada pelajar UPSI agar berani tampil berucap di khalayak ramai serta menyuarakan pandangan secara berhemah. Selain itu, ia turut membuka ruang kepada pelajar yang baru berjinak-jinak dalam bidang ini untuk mencuba dan membina keyakinan diri.

Melalui penglibatan aktif, khususnya dalam pertandingan yang dianjurkan, diharapkan agar kemahiran pelajar dapat digilap dan bakat terpendam dapat dipupuk ke arah melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang berwibawa dan berketerampilan.

Majlis penutupan telah diadakan pada 19 Jun di DKP 6 bagi mengumumkan para pemenang bagi kedua-dua pertandingan sebagai tanda penghargaan dan ucapan tahniah atas kejayaan yang diraih.

Sebagai galakan kepada peserta yang belum berjaya, mereka turut diberikan sijil penyertaan sebagai tanda pengiktirafan dan dorongan agar tidak berputus asa, sebaliknya terus mencuba dan mengembangkan potensi diri pada masa akan datang.