Oleh: Ahmad Nabil Najmi Harris dan Kamarul Aqiff Shah Kamarul Azizul

Kuala Lumpur, 15 Jun 2025 – Seramai 67 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menyertai Kursus Street Dakwah yang berlangsung di Bukit Bintang dan Times Square, Kuala Lumpur. Program ini merupakan anjuran bersama Persatuan Pendidikan Islam (PPI) UPSI sesi 2024/2025 dan pelajar kursus Pemikiran Islam Kontemporari (HIA 3083), dengan kerjasama Multiracial Reverted Muslims (MRM). Multiracial Reverted Muslims (MRM) merupakan sebuah pertubuhan dakwah yang aktif dalam menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat pelbagai kaum dan agama, khususnya golongan bukan Islam dan saudara baru.

Ditubuhkan oleh Ustaz Firdaus Wong, MRM berperanan dalam menjalankan aktiviti dakwah jalanan, penganjuran kursus perbandingan agama, serta memberi sokongan menyeluruh kepada golongan mualaf dalam memahami dan menghayati Islam secara mendalam. Penyertaan ini melibatkan pelajar dari kelas HIA 3083 serta pimpinan PPI UPSI, bertujuan memberikan pendedahan langsung kepada kaedah dakwah lapangan dalam suasana masyarakat majmuk.

Rombongan bertolak dari UPSI seawal jam 8.00 pagi dan tiba di pusat operasi MRM kira-kira jam 9.45 pagi. Ketibaan para peserta disambut oleh Ketua Bahagian Dakwah MRM, Bro Muhammad Azim, yang kemudian memberikan taklimat intensif mengenai teknik dakwah, pendekatan berdialog dengan bukan Muslim, adab dan etika seorang pendakwah, serta pemilihan topik dakwah yang sesuai dengan pelbagai latar belakang audiens. Sesi ini turut disertai dengan simulasi dakwah sebenar bersama Bro Azim dan Bro Adam, di mana beberapa situasi dan hujah yang lazim dikemukakan oleh masyarakat awam diperlihatkan secara praktikal. Sesi latihan berlangsung sehingga jam 1.00 tengah hari, diikuti dengan waktu rehat dan solat.

Pada sebelah petang, bermula jam 2.00, para pelajar dibahagikan kepada dua kumpulan dan dibawa ke dua lokasi tumpuan utama iaitu Bukit Bintang dan sekitar Times Square. Di sana, peserta diberi peluang mengaplikasikan ilmu dan latihan yang telah dipelajari pada sesi pagi. Aktiviti utama termasuklah edaran risalah dakwah dalam pelbagai bahasa seperti Bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin, serta sesi perbualan dan soal jawab secara santai bersama masyarakat awam. Turut hadir memeriahkan program ialah pendakwah bebas terkenal, Ustaz Firdaus Wong Wai Hung yang juga merupakan Presiden MRM, yang memberikan sokongan dan bimbingan secara langsung kepada para peserta di lapangan.

Program ini memberikan pengalaman yang sangat berharga buat para pelajar, bukan sahaja dari sudut teori tetapi juga dari segi kemahiran komunikasi, keberanian berdakwah, dan pemahaman sebenar terhadap keperluan berdakwah secara hikmah dalam suasana masyarakat berbilang kaum. Ramai peserta menyatakan rasa teruja dan syukur kerana berpeluang menyertai program yang membuka ruang untuk memahami realiti masyarakat serta keperluan pendekatan dakwah yang bersifat lembut dan tidak menghakimi.

“Ini bukan sekadar kursus, tapi pengalaman hidup. Kami belajar bagaimana menyampaikan Islam dengan hikmah, tanpa menghukum. Pendekatan MRM sangat membuka mata kami,” ujar salah seorang pelajar.

Pihak PPI UPSI dan para pelajar merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak MRM atas kerjasama erat, layanan mesra, serta ilmu yang dikongsikan sepanjang program. Diharapkan program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang, bukan sahaja sebagai medium latihan untuk para pelajar, tetapi juga sebagai usaha berterusan dalam menyebarkan mesej Islam dengan kasih sayang, hikmah, dan penuh kebijaksanaan kepada masyarakat pelbagai latar belakang. Semoga generasi pendakwah muda ini terus melangkah ke hadapan membawa risalah Islam sebagai rahmat untuk seluruh alam.