Oleh: Muhammad Ashraff Ismail dan Dr. Husna Husain
Tanjong Malim, 13 Jun 2025 – Seramai lima orang mahasiswa dan mahasiswi Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Pendidikan Islam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah terlibat dalam menjayakan sebuah program bacaan Yassin mingguan bersama murid-murid Sekolah Rendah Sri Budiman, Tanjong Malim. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah Program Kolaborasi Lensa Inisiatif Keguruan (KLIK) yang melibatkan mahasiswa dari Program Pengajian Sarjana Muda Pendidikan dan Sarjana Muda Dengan Pendidikan. Program KLIK telah mula dilaksanakan pada Semester 2, Sesi 2024/2025 (A242) bermula minggu ke-10 pengkuliahan iaitu pada 26 Mei dan akan diteruskan secara berperingkat bagi semester-semester akan datang.
Aktiviti bacaan Yassin dijalankan setiap hari Jumaat bermula jam 7.30 pagi hingga 8.00 pagi, bertempat di surau sekolah dan disertai oleh murid-murid Sekolah Rendah Sri Budiman bersama guru-guru yang terlibat. Aktiviti mingguan ini dimulakan dengan bacaan Surah Yassin, disusuli dengan bacaan 10 ayat awal dan akhir Surah al-Kahfi, serta ditutup dengan tazkirah ringkas yang disampaikan secara bergilir oleh pelajar Pendidikan Islam sendiri. Program ini bukan sahaja berfungsi sebagai pengisian rohani mingguan untuk murid-murid, malah turut memberi ruang kepada mahasiswa UPSI untuk melibatkan diri secara langsung dalam suasana persekitaran sekolah sebenar.


Tujuan utama pelaksanaan program ini adalah untuk memberi pendedahan awal kepada para mahasiswa pendidikan dalam mengendalikan pelajar sekolah rendah, mendekatkan mereka dengan budaya kerja di sekolah, serta memupuk kemahiran komunikasi dan kepimpinan yang berkesan. Selain itu, penglibatan secara langsung dalam aktiviti keagamaan sekolah memberi nilai tambah kepada mahasiswa dalam aspek pembinaan sahsiah dan tanggungjawab sebagai pendidik Muslim.
Sepanjang sesi ini berlangsung, mahasiswa UPSI khususnya dari ISPM Pendidikan Islam memperoleh banyak pengalaman baharu, khususnya dalam memahami perbezaan tingkah laku murid, membina pendekatan pengajaran yang sesuai, serta meningkatkan keyakinan diri dalam berinteraksi dengan komuniti sekolah. Program ini turut menerima maklum balas positif daripada pihak pentadbiran Sekolah Rendah Sri Budiman yang melihatnya sebagai usaha memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan sekolah rendah secara holistik.
Diharapkam pelaksanaan program KLIK ini, khususnya melalui aktiviti bacaan Yassin mingguan, dapat diteruskan. Ia diharapkan menjadi platform efektif dalam melahirkan guru pelatih yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berjiwa pendidik, berakhlak mulia dan mampu menjadi contoh teladan kepada murid-murid sekolah rendah. Semoga usaha kecil ini menjadi pencetus kepada pembentukan generasi pendidik cemerlang yang mampu membawa perubahan positif kepada masyarakat melalui pendidikan yang berpaksikan nilai dan spiritual.
