Oleh : Farah Adiba Zulkeflee

Gopeng, 26 Jun 2025 – Program SPARK SCIENCE – STI100³ YOUNG SCIENTIST 2025 edisi kedua telah dilaksanakan dengan jayanya pada 26 Jun 2025 di SMK Seri Teja, Gopeng, Perak.

Program ini melibatkan seramai 100 orang pelajar Tingkatan 3, dibantu oleh 30 orang wakil pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) daripada Kelab STEM Ambassador di bawah STEM Nurturing Center, Fakulti Sains dan Matematik, dengan penyelarasan oleh Dr. Aisyah binti Mohamad Sharif.

Program ini bertujuan untuk menyemai minat terhadap bidang STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik) melalui pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan, interaktif dan praktikal.

Program dimulakan dengan STEAMazing Show yang menampilkan eksperimen “Elephant Toothpaste”iaitu merupakan satu demonstrasi tindak balas kimia yang menghasilkan letusan buih yang dramatik dan mengujakan.

Pelajar kelihatan sangat teruja melihat eksperimen tersebut secara langsung. Ada diantara mereka yang mengangkat tangan bertalu-talu untuk bertanya soalan, dan ada juga yang berbisik sesama sendiri, “Wah, tak sangka macam ni rupanya sains!

Seterusnya, pelajar dibahagikan kepada kumpulan untuk menyertai STEAMazing Race, iaitu satu aktiviti eksplorasi sains di enam stesen berbeza.

Antara stesen yang disediakan ialah Allotrope Explorer Activity, Detective Nano Activity, Lectro Fun Activity, DNA Strawberry Extraction Activity, Sun Gazing Activity, dan beberapa lagi aktiviti interaktif.

Setiap stesen menggabungkan elemen kerjasama, penyelesaian masalah dan kreativiti pelajar. Mereka bukan sahaja menyelesaikan tugasan dengan aktif, malah saling membantu dan menunjukkan semangat kerja berpasukan yang tinggi.

Aktiviti mengekstrak DNA strawberi dan melihat matahari melalui alat khas merupakan antara yang paling mendapat perhatian.

Program diteruskan dengan STEAMazing Exhibition yang mempamerkan teknologi moden seperti robot MBOT dan Virtual Reality (VR).

Melalui pameran ini, pelajar berpeluang mencuba pengalaman realiti maya dan memahami bagaimana teknologi digunakan dalam dunia sebenar. Ramai yang menyatakan keinginan untuk mendalami bidang robotik dan sains komputer selepas mencuba pengalaman ini.

Di akhir program, pelajar mengisi soal selidik dalam sesi Evaluation and Reflection Programme. Dapatan menunjukkan lebih 97% pelajar sangat seronok menyertai program ini.

Mereka mengakui telah mempelajari banyak ilmu baharu dalam bidang kimia, fizik dan bioteknologi, serta berasa lebih yakin dan berminat untuk meneroka STEAM secara lebih mendalam.

Ramai juga menyatakan bahawa ini merupakan pengalaman sains paling menyeronokkan yang pernah mereka alami.

Secara keseluruhannya, program SPARK SCIENCE – STI100³ YOUNG SCIENTIST 2025 telah berjaya menyemarakkan minat pelajar terhadap sains, disamping membuka ruang pembelajaran luar bilik darjah yang berimpak tinggi.

Ia bukan sekadar program, tetapi satu pengalaman yang memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menjadi peneraju dalam dunia sains dan teknologi pada masa hadapan.