Oleh: Farah Adiba Zulkeflee

Lumut, 13  Jun 2025 – Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 peringkat Negeri Perak telah berlansung dengan jayanya pada 13 hingga 15 jun 2025 bertempat di Lumut Waterfront, Lumut, Perak.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah bersama-sama mengambil bahagian dalam menjayakan program ini dengan membuka reruai pameran di lot K22. Pelbagai aktiviti interaktif dan pameran berkaitan sains dan teknologi di bawah satu tema iaitu “Sains Untuk Semua”

Tanpa melepaskan peluang, Kelab STEM ambassador di bawah STEM Nurturing Center, Fakulti Sains Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya bersama -sama menggerakkan reruai tersebut.

Dua orang wakil yang sangat berpengalaman telah dihantar ke program tersebut bagi menunjukkan beberapa pameran yang dibawa daripada UPSI sepanjang tempoh tiga hari program berlansung.

Kedua-dua wakil ini telah memainkan peranan penting sebagai fasilitator dan penceramah tidak formal bagi menyampaikan maklumat dan demonstrasi berkaitan STEM dan pameran yang dibawa kepada pengunjung.

Mereka bukan sahaja bertanggungjawab dalam memberi penerangan, malahan turut berinteraksi secara lansung dengan orang awam dari pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pelajar sekolah, guru, ibu bapa serta warga emas.

Pelbagai pameran yang telah dipamerkan yang telah menarik perhatian pengunjung antaranya ialah demonstrasi Pocket Lab, iaitu alat sensor bersaiz kecil yang digunakan untuk menunjukkan beberapa eksperimen fizik secara nyata seperti perubahan suhu, tekanan, dan sebagainya.

Selain itu, pengunjung juga turut diberi peluang untuk meneroka dunia mikroskopik melalui mikroskop yang memaparkan imej pelbagai objek seperti daun, tisu tumbuhan dan tekstur tumbuhan.

Aktiviti ini sangat mendapat sambutan dalam kalangan pelajar dan guru kerana ia telah membuka dimensi baharu dalam memahami struktur halus objek secara visual.