Barisan fasilitator bersama murid-murid SK Sungai Keli, Hutan Melintang

Oleh: Carlene Carol Chan Mei Ling, Jessalyn Nuwie Jenny & ChM. Dr. Siti Nur Akmar Yazid

Hutan Melintang, 17 Julai 2025 – Program SPARKSCIENCE – STI100, anjuran Nanotechnology Research Centre (Nano Centre), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) serta Persatuan Mahasiswa Sains (PMS), UPSI berjaya dilaksanakan dengan penuh meriah dan bermakna di Sekolah Kebangsaan Sungai Keli, Hutan Melintang, Perak.

Program ini menghimpunkan seramai 55 orang murid daripada tahun satu hingga tahun enam, berpeluang meneroka dunia Sains melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dan keseronokan.

Seramai 20 orang fasilitator dan urus setia dari UPSI telah terlibat dalam program ini. Seawal jam 7.00 pagi, rombongan bertolak daripada Blok 2, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI dengan semangat dan iltizam untuk menyemai minat terhadap Sains dalam kalangan murid SK Sungai Keli. Ketibaan mereka disambut meriah oleh barisan murid yang membentuk barisan kehormat sambil mengibarkan bendera kecil dan mengukir senyuman ceria, menambahkan lagi keterujaan sebelum program bermula.

Sesi ice breaking bersama murid

Sebelum upacara rasmi dimulakan, sesi ice breaking antara fasilitator dan murid-murid diadakan bagi mencetuskan suasana mesra dan interaktif. Aktiviti santai yang berlangsung dalam suasana ceria itu berjaya merapatkan jurang komunikasi serta membina hubungan positif antara kedua-dua pihak. Kehadiran fasilitator UPSI disambut dengan keterujaan oleh murid-murid, yang begitu bersemangat menyertai setiap aktiviti yang dijalankan secara langsung.

Ucapan aluan pengarah program

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Mohd Ismail Shahlan, Pegawai SISC+ Sains dan Matematik merangkap Wakil Ketua Pegawai Pendidikan Daerah (KPPD) Bagan Datuk. Dalam ucapannya, beliau memuji inisiatif ini sebagai satu langkah proaktif dalam memperkasa budaya Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di peringkat akar umbi. Upacara diteruskan dengan gimik perasmian secara simbolik serta sesi bergambar kenangan bersama murid-murid, guru pengiring dan semua fasilitator yang terlibat.

Sesi STEAMazing Shows daripada fasilitator UPSI
Penerangan eksperimen Lava Lamp kepada murid

Antara acara utama yang mencuri tumpuan ialah STEAMazing Shows yang menampilkan dua demonstrasi eksperimen sains secara langsung, iaitu FireBoom dan Elephant Toothpaste. Persembahan interaktif ini berjaya memukau perhatian murid-murid yang kelihatan teruja menyaksikan kesan visual dramatik hasil tindak balas kimia. Setiap eksperimen turut disertai penerangan ringkas oleh fasilitator UPSI mengenai konsep asas sains yang terlibat, sekali gus menjadikan pembelajaran lebih menarik dan bermakna.

Selesai pertunjukan, program diteruskan dengan STEAMazing Race, iaitu aktiviti berkonsepkan eksplorasi stesen saintifik. Sebanyak lima stesen mini eksperimen diperkenalkan, iaitu Allotrope Explorer, Detective Nano, Lava Lamp, Wax Drawing, dan Rainbow Milk. Setiap stesen direka khas bagi mendedahkan murid kepada konsep asas sains secara mudah, menyeronokkan dan bersifat hands-on.

Murid-murid dibahagikan kepada kumpulan dan melalui setiap stesen secara bergilir dengan bimbingan langsung daripada fasilitator UPSI. Menariknya, setiap murid turut menjalani soal selidik pra dan pasca aktiviti untuk menilai tahap kefahaman mereka terhadap konsep yang dipelajari, sekali gus menggalakkan pemikiran reflektif dan kritis.

Serentak dengan itu, turut berlangsung STEAMazing Exhibition, sebuah pameran interaktif yang memberi peluang kepada murid untuk mencuba sendiri teknologi pendidikan moden. Antara tarikan utama ialah realiti maya (VR), robotik MBot dan kereta solar yang dikendalikan sepenuhnya oleh fasilitator UPSI. Mereka sentiasa bersedia memberi penerangan dan panduan secara mesra dan bersemangat, menjadikan pengalaman tersebut lebih bermakna buat para pengunjung cilik.

Program diakhiri dengan sesi refleksi murid serta pengisian instrumen soal selidik bagi menilai keberkesanan program terhadap minat mereka dalam pembelajaran Sains. Dua orang wakil murid kemudiannya tampil berkongsi pengalaman dan pembelajaran sepanjang hari. Ucapan mereka yang tulus dan jujur nyata menyentuh hati para fasilitator, membuktikan bahawa usaha yang dicurahkan telah berjaya memberi impak yang mendalam.

Melalui SPARKSCIENCE 2025, para peserta bukan sahaja memperoleh pengalaman baharu yang menyeronokkan, malah mula membina minat terhadap dunia Sains dan teknologi. Program ini turut menyumbang kepada perkembangan kemahiran berfikir aras tinggi, kebolehan menyelesaikan masalah serta pembinaan sahsiah menerusi aktiviti berpasukan. UPSI dan PMS amat berbangga dapat menyumbang secara langsung kepada aspirasi pendidikan negara dalam melahirkan generasi celik STI yang berdaya saing dan berfikiran kritis sejak di bangku sekolah rendah.