Oleh: Dr. Noor Alhuda Madzlan dan Dr. Aisyah Mohamad Sharif
Lawatan penanda aras inovasi oleh Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 2 telah berlangsung pada 16 April 2026, bermula jam 2.00 petang di Fakulti Sains Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program ini melibatkan seramai 26 orang peserta yang terdiri daripada guru-guru, Guru Besar, Yang Dipertua PIBG serta Naib Yang Dipertua PIBG, dan beberapa pensyarah dari Fakulti Sains dan Matematik.
Program dimulakan dengan bacaan doa, diikuti ucapan alu-aluan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Madya ChM. Dr. Noorshida binti Mohd Ali. Dalam ucapannya, beliau memperkenalkan Fakulti Sains dan Matematik, UPSI serta mengetengahkan pelbagai kejayaan pembangunan inovasi yang telah dihasilkan oleh pensyarah dan pelajar universiti.



Ucapan balas telah disampaikan oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 2, Encik Ahmad Badrul Amin bin Mohd Saibani yang menyatakan harapan agar lawatan ini dapat memberi inspirasi kepada guru-guru dalam menghasilkan inovasi yang boleh diaplikasikan di peringkat sekolah.
Program diteruskan dengan sesi menandatangani sijil kolaborasi antara SK Puncak Alam 2 dan Fakulti Sains Matematik, UPSI sebagai tanda jalinan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak. Sesi bergambar turut diadakan bagi merakamkan momen kolaborasi ini.



Seterusnya, peserta didedahkan dengan sesi perkongsian inovasi oleh Profesor Madya Dr. Shazlyn Milleana binti Shaharudin yang membentangkan pelbagai kit inovasi hasil pembangunan beliau bersama pelajar. Beberapa kit yang telah dikomersialkan turut dipamerkan sebagai rujukan kepada peserta.
Peserta juga telah mengikuti taklimat berkaitan STEM Nurturing Centre UPSI oleh Penyelaras Pusat STEM, Dr. Aisyah binti Mohamad Sharif, yang menerangkan peranan pusat tersebut dalam menyokong pembangunan pendidikan STEM di Universiti Pendidikan Sultan Idris.


Selain itu, sesi perkongsian turut disampaikan oleh pelajar UPSI, Chin Khai Xian, pemenang pertandingan MTE AYIA 2026. Beliau berkongsi pengalaman dalam membangunkan inovasi “Crashkit” serta proses penghasilan inovasi dari peringkat idea hingga ke pertandingan.
Program diakhiri dengan sesi soal jawab yang interaktif serta jamuan minum petang, sekali gus menutup tirai lawatan penanda aras ini dengan jayanya.
