Oleh: Dr. Anis Nazihah Mat Daud, Ts. Dr. Afiq Radzwan, Encik Mohd Faisal Mohd Yassin, Nurleesya Afiqah Mohmad Kamar, Muhammad Ammaar Mohd Hanafi
Tanjong Malim, 15 April 2026 – Kelab RASTRO Sidang 2025/2026 Universiti Pendidikan Sultan Idris telah berjaya menganjurkan Jamuan Raya Kelab RASTRO yang berlangsung di Makmal STEM, Blok 4, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), UPSI.
Program ini diadakan bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri secara bersama dalam kalangan ahli Kelab RASTRO serta memupuk semangat kekeluargaan antara pelajar dan pensyarah di luar suasana akademik.
Majlis dimulakan dengan pendaftaran kehadiran peserta bermula jam 9:00 pagi. Para peserta hadir tepat pada masanya sambil menunggu ketibaan pensyarah jemputan yang tiba sekitar jam 9:15 pagi.


Program kemudiannya diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh pengacara majlis serta bacaan doa yang dipimpin oleh salah seorang ahli jawatankuasa bagi memohon keberkatan sepanjang majlis berlangsung.
Seterusnya, majlis diserikan dengan ucapan oleh Penasihat Kelab RASTRO yang menekankan kepentingan mengekalkan semangat kekeluargaan walaupun sambutan Hari Raya telah berlalu. Dalam ucapannya, beliau turut memuji usaha ahli jawatankuasa yang menganjurkan program ini secara gotong-royong.
Selepas sesi ucapan, majlis diteruskan dengan sesi makan bersama yang diadakan secara santai dan mesra. Semua peserta dan pensyarah menikmati pelbagai juadah dan kuih raya yang disediakan secara gotong-royong oleh ahli kelab.
Sepanjang sesi makan berlangsung, pengacara majlis telah mengendalikan aktiviti tambahan iaitu “Teka Kuih Raya” . Dalam aktiviti ini, pengacara menunjukkan gambar atau menyebut ciri-ciri kuih, manakala peserta meneka nama kuih raya tersebut. Antara kuih yang diteka termasuklah Tart Nenas, Kuih Makmur, Rempeyek, Biskut Susu, dan Bangkit. Peserta yang berjaya meneka diberikan hadiah kecil berbentuk coklat dan angpau simbolik sebagai galakan. Aktiviti ini mendapat sambutan yang meriah serta mencetuskan gelak tawa sepanjang sesi makan berlangsung.



Program kemudiannya meneruskan dengan sesi fotografi yang diadakan di ruang legar Makmal STEM. Semua peserta dan pensyarah bergambar bersama sebagai kenang-kenangan program.
Majlis diakhiri dengan ucapan penutup oleh pengacara majlis serta bersurai pada jam 11:00 pagi tepat.
Program ini telah berjaya mendapat kehadiran seramai 50 orang pelajar serta 3 orang pensyarah, menjadikan jumlah kehadiran keseluruhan seramai 53 orang.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa, pensyarah, serta peserta yang terlibat dalam menjayakan program ini. Penghargaan khusus juga ditujukan kepada pengacara majlis yang berjaya mengendalikan aktiviti Teka Kuih Raya dengan menarik dan menghiburkan.
Para peserta juga digalakkan untuk mengikuti media sosial rasmi Kelab RASTRO bagi mendapatkan maklumat mengenai program-program akan datang.
Secara keseluruhannya, Jamuan Raya Kelab RASTRO berjaya mencapai objektifnya dalam memupuk semangat kekeluargaan serta menyediakan ruang interaksi tidak formal antara pelajar dan pensyarah. Diharapkan program sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkasa lagi budaya silaturahim dalam kalangan warga Fakulti Sains dan Matematik, UPSI.
