Oleh: Fatina Bakar dan Nora Liza Abdul Kadir
TANJONG MALIM, 12 Julai 2025 – Akademi Bahasa Antarabangsa (AKAR), Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Bengkel Penulisan Abstrak bagi memantapkan kemahiran peserta yang bakal bersaing dalam Pertandingan B-Inovatif 2025 pada September ini.
Bengkel itu menarik penyertaan pensyarah, guru, pelajar universiti serta pelajar sekolah, dan dikendalikan oleh pensyarah tersohor dalam bidang inovasi pendidikan, Dr. Mariyati Mohd Nor.
Beliau merupakan penerima Anugerah Inovasi Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PDP) Inovasi Pembelajaran Imersif Teradun AKIRA 2023 serta Anugerah Kecemerlangan Inovasi (EMAS) Peringkat Kebangsaan 2024.
Sepanjang hampir dua jam sesi berlangsung, Dr. Mariyati berkongsi teknik dan strategi penulisan abstrak yang berkesan, khususnya cara menonjolkan nilai serta keunikan inovasi.



Beliau menegaskan abstrak adalah “wajah pertama” yang dinilai juri, justeru ia perlu padat, jelas, menyeluruh dan mampu menarik perhatian di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Peserta turut didedahkan dengan contoh abstrak yang pernah memenangi anugerah, selain diberi bimbingan secara langsung untuk menambah baik draf masing-masing.
Sesi tersebut menerima sambutan menggalakkan dan maklum balas positif daripada peserta, termasuk yang sedang mempersiapkan abstrak bagi penyertaan ke Pertandingan B-Inovatif pada 12 September ini.
Menurut salah seorang peserta, bengkel tersebut membantu mereka memahami elemen penting dalam penulisan abstrak yang mampu “menjual” inovasi dihasilkan.
“Dengan tunjuk ajar Dr. Mariyati, kami kini lebih yakin dan bersedia menghantar penyertaan,” katanya.


Pengarah Pertandingan B-Inovatif, Dr. Ariza Abdullah, berkata program itu bukan sekadar pertandingan, sebaliknya bertujuan memupuk budaya penyelidikan dan inovasi dalam kalangan warga akademik dan pelajar.
“Kami melibatkan kepakaran tokoh akademik seperti Dr. Mariyati yang telah meraih 9 pingat emas, 3 pingat perak dan 5 pingat gangsa di pelbagai pertandingan inovasi,” katanya.
Bengkel ini juga merupakan kesinambungan daripada kejayaan penganjuran Webinar B-Inovatif pada 3 Julai lalu, sekali gus mencerminkan komitmen AKAR dalam memperkasa pengetahuan akademik dan kemahiran inovasi peserta.
