Oleh: Nurin Rozaini Azreen Mohd Rozelam dan Arissa Syaralia Ariff Murzali
Mui Ne Vietnam, 3 Ogos 2025 – Dalam semangat kemanusiaan dan perpaduan sejagat, delegasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) di salah sebuah masjid utama di perkampungan Mui Ne, Vietnam iaitu Masjid Noorul Ehsan.
Aktiviti ini bukan sahaja memperkukuh nilai murni dalam kalangan mahasiswa, malah menjadi jambatan antara dua komuniti Islam dari dua negara yang berbeza latar, namun berkongsi nilai rohani yang sama.
Seawal jam 10.00 pagi, para peserta memulakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan masjid termasuk ruang solat, halaman luar dan tempat wuduk.
Dengan penuh disiplin dan semangat sukarelawan, mahasiswa UPSI bekerjasama dalam menyusun semula kelengkapan masjid, membersihkan kawasan dalam dan luar masjid.



Suasana dilimpahi rasa keikhlasan, hormat dan kesungguhan yang menjadikan kerja fizikal tersebut terasa ringan kerana dilakukan dengan hati yang terbuka.
Selepas aktiviti kebersihan selesai, satu sesi penyampaian sumbangan telah diadakan. Delegasi UPSI yang diwakili oleh Ts. Dr. Megat Azrin bin Ahmad dan diiringi oleh Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, (KHAR), Dr. Haji Che Anuar bin Che Abdullah menyerahkan barangan keperluan asas seperti 20 unit sejadah mini, kopiah, tasbih digital dan pakaian kanak-kanak kepada wakil pengurusan masjid.
Sumbangan ini hasil kutipan dana daripada peserta yang ingin menyumbang kepada komuniti Islam minoriti di Vietnam. Turut disampaikan ialah cenderamata sebagai tanda ukhuwah dan kenang-kenangan antara dua pihak.


Yang lebih menyentuh hati, slot CSR ini turut diserikan dengan sesi ramah mesra bersama komuniti Islam tempatan. Meskipun terdapat halangan bahasa, komunikasi tetap berjalan dengan isyarat, senyuman dan bantuan penterjemah.
Para mahasiswa mengambil peluang bertanya mengenai kehidupan sebagai Muslim di perkampingan Mui Ne dan bagaimana komuniti tempatan mengekalkan amalan serta identiti mereka.
Peserta turut berkongsi pengalaman mereka sebagai mahasiswa Muslim di Malaysia serta cabaran dan kelebihan yang mereka hadapi.
Menurut seorang peserta, pengalaman ini sangat membuka mata, “Saya sedar betapa bertuahnya kita di Malaysia. Di sini, mereka hidup sebagai minoriti tetapi tetap kuat dalam pegangan. Ia mengajar saya erti kesyukuran dan juga rasa tanggungjawab untuk membantu selagi mampu,” kata Aini Syahida Anwar, pelajar tahun akhir merangkap Exco Blok Kediaman 4 Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid Sidang 2024/2025.


Program ini memberi impak yang sangat mendalam dari segi rohani dan emosi. Ia menanam nilai empati, keprihatinan sosial dan semangat kesukarelawanan dalam diri mahasiswa. Dalam masa yang sama, ia memperkukuh kesedaran bahawa keindahan Islam itu merentas bangsa dan sempadan, serta nilai kemanusiaan adalah bahasa sejagat yang mampu menyatukan semua umat manusia.
Slot ini juga menjadi lambang pentingnya integrasi spiritual dalam mobiliti global bahawa belajar di luar negara bukan hanya mengenai akademik dan budaya semata-mata, tetapi juga menyantuni nilai-nilai kemasyarakatan dan menyumbang kembali kepada komuniti setempat.
