KUALA KANGSAR, 3 Ogos 2025 – Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh (MMK KAHS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Sidang 2025/2026 melakar langkah awal pentadbiran baharu melalui penganjuran Bengkel Pemerkasaan Organisasi, Hala Tuju dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang berlangsung selama tiga hari di USAS Resort di sini, bermula 1 Ogos lalu.

Program bertujuan memperkukuh struktur organisasi serta membentuk hala tuju strategik MMK ini merangkumi pelbagai pengisian kepimpinan, kerohanian, pengurusan krisis dan perancangan program sepanjang sidang akademik.

Menurut kenyataan MMK KAHS, bengkel berkenaan turut menjadi platform membentuk nilai tanggungjawab, jati diri serta kefahaman mendalam terhadap peranan mahasiswa sebagai pemimpin kampus.

Antara pengisian utama termasuk sesi motivasi bersama Yang Dipertua MMK, slot kesedaran kesihatan “MMK Alert: Sihat Fikiran, Selamat Kampus”, aktiviti pengukuhan pasukan “Gerak Jiwa Kita” dan bengkel simulasi pengurusan krisis serta penyelesaian masalah berasaskan senario sebenar.

Majlis Watikah Pelantikan Rasmi MMK KAHS 2025/2026 turut diadakan dalam suasana penuh istiadat, menandakan permulaan rasmi tampuk kepimpinan baharu.

Pengetua Kolej Awang Had Salleh turut menyampaikan amanat serta mengadakan sesi taklimat hala tuju bersama barisan kepimpinan pelajar, diikuti sesi pemetaan program berimpak tinggi dan refleksi akhir pada hari penutup.

Bengkel ini berakhir dengan deklarasi komitmen oleh barisan MMK, sejajar dengan tema “Gerak Jiwa KAHS” yang menekankan pembinaan legasi kepimpinan mahasiswa yang berintegriti dan menyokong penuh aspirasi UPSI sebagai peneraju pendidikan dan kepimpinan mahasiswa nasional.