Oleh: Nik Nureen Aeisya
Semporna, Sabah, 3 Julai 2025 – Membawa nama Kolej Ungku Omar Universiti Pendidikan Sultan Idris, Exco Kebajikan dan Perkhidmatan MMKUO berjaya ‘menerbangkan’ 20 sukarelawan dari Semenanjung ke Semporna demi Program KUO Wings: Semporna Kalasahanku.
Dengan kerjasama Persatuan Semporna Prihatin, Taman-Taman Sabah, penduduk Kampung Tonggulangan, Gellam-Gellam serta Pulau Bum-Bum, program ini berjaya dianjurkan pada 30 Jun hingga 3 Julai yang lalu.
Program ini juga mendapat sambutan penyertaan bukan sahaja dari kalangan Mahasiswa/i UPSI tetapi juga mahasiswa dari Politeknik Ungku Omar.



Memfokuskan kepada kluster sukarelawan berpasukan, beberapa aktiviti berkait telah dijalankan bersama sukarelawan dan juga penduduk di daerah Semporna ini.
Antaranya adalah sumbangan bakul makanan dan aktiviti gotong-royong. Hal ini sedikit sebanyak telah memberi impak positif kepada penduduk kampung dalam usaha meringankan beban kehidupan harian mereka.
Sepanjang program berlangsung, para sukarelawan berpeluang mendalami keunikan budaya tempatan yang menjadi identiti komuniti Kampung Tonggulangan, Gellam-Gellam dan Bum-Bum, menjadikan pengalaman yang diperoleh amat bermakna dengan kenangan yang sukar dilupakan.



Sebaik sahaja tiba di Sabah, program dimulai dengan aktiviti pengedaran sumbangan makanan kepada gelandangan di sekitar bandar Tawau sebelum bertolak ke Semporna.
Aktiviti ini bukan sahaja membantu memenuhi keperluan asas keluarga yang kurang berkemampuan, malah turut menjadi simbol keprihatinan sukarelawan terhadap cabaran hidup yang dihadapi oleh komuniti setempat.
Kemudian, pasukan sukarelawan bertolak ke Kampung Pasir Putih di Tawau untuk aktiviti menyantuni dan merewang bersama masyarakat setempat.
Suasana penuh kemesraan terjalin apabila para sukarelawan berganding bahu menyediakan juadah makan malam sambil berinteraksi dan berkongsi cerita bersama penduduk kampung.
Setelah itu, aktiviti diteruskan dengan gotong-royong di Semporna yang melibatkan pembersihan kawasan pantai dan surau Pulau Bum-Bum telah memperlihatkan semangat kerjasama yang tinggi antara para sukarelawan dan penduduk tempatan.
Suasana ceria dan mesra yang terjalin sepanjang aktiviti ini bukan sahaja memperindah persekitaran fizikal pulau malah memperkukuh jalinan hubungan kemanusiaan yang tulus antara dua komuniti yang berbeza latar belakang.
Perasmi program, Encik Abdul Rahmat Mauliullah, Pegawai Perpaduan Daerah Kunak dan Semporna, dalam ucapannya menyatakan bahawa “Program KUO Wings: Semporna Kalasahanku” merupakan satu inisiatif murni yang bukan sahaja menyemarakkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa, tetapi juga membina jambatan kemanusiaan yang erat antara dua pihak iaitu institusi pendidikan dan masyarakat luar bandar”.
Beliau turut menambah bahawa pengalaman yang diperoleh oleh mahasiswa dalam program ini mampu memupuk nilai-nilai murni seperti keprihatinan, tanggungjawab sosial dan penghayatan terhadap kepelbagaian budaya.
“Inisiatif sebegini wajar diteruskan dan diperluas ke kawasan lain agar lebih ramai belia dapat menyantuni masyarakat yang memerlukan, di samping mendalami keunikan budaya tempatan yang menjadi khazanah berharga negara” ujar beliau.


Pengetua Kolej Ungku Omar, Prof. Madya Dr. Mohd Nizam Nasrifan pula dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga terhadap semangat dan komitmen para sukarelawan yang sanggup merentas lautan dari semenanjung ke Sabah demi menjayakan program ini.
Beliau turut menekankan bahawa program seperti ini selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan mahasiswa berdaya saing, holistik dan berjiwa komuniti.
Pengarah Program, Muhammad Zaki Nasrullah, turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberi sokongan penuh sepanjang penganjuran program ini.
“Program KUO Wings: Semporna Kalasahanku telah mengajar kami tentang erti sebenar perpaduan, kasih sayang dan pengorbanan. Ia bukan sekadar program khidmat masyarakat, tetapi sebuah perjalanan jiwa yang membina makna dalam diri setiap sukarelawan,” ujar Zaki penuh emosi.
Beliau turut berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penyertaan lebih meluas melibatkan pelbagai latar belakang institusi dan komuniti.

