TANJUNG MALIM, 12 JULAI 2025 – Dalam suasana penuh gemilang dan emosi di Dewan KHAR, Kolej Awang Had Salleh (KAHS) telah mencipta satu detik bersejarah apabila berjaya meraih tempat ke-2 bagi Anugerah Kesukarelawanan Alam Sekitar dan tempat ke-3 bagi Anugerah Misi Kemanusiaan dalam Majlis Anugerah Kolej-Kolej Kediaman UPSI 2025.
Kemenangan yang diraih ini bukan sekadar angka di atas pentas tetapi ia adalah simbol kebangkitan semula, semangat berpasukan, dan keikhlasan dalam memberi. mewakili Kluster Alam Sekitar ialah Muhammad Alif Ayub, Yang Dipertua MMK KAHS sesi 2024–2025, yang tidak kenal erti lelah dalam memastikan kelestarian alam terus terpelihara.
Sementara itu, Mus’ab Umair Khairul Idham telah mewakili KAHS dalam Kluster Misi Kemanusiaan yang membawa semangat empati dan perjuangan membantu masyarakat yang memerlukan.
Yang menjadikan kemenangan ini lebih bermakna ialah hakikat bahawa KAHS tidak berjaya membawa pulang sebarang anugerah pada tahun 2024.
Maka, pencapaian pada tahun ini menjadi simbol kebangkitan dari kegagalan dan bukti bahawa dengan semangat dan keazaman, tiada apa yang mustahil.
Menurut Pengetua KAHS, kemenangan ini mungkin kelihatan kecil pada mata sesetengah orang, namun impaknya besar buat seluruh warga kolej.



“Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan,” ujar beliau dengan penuh harapan.
Kata-kata ini bukan sekadar motivasi tetapi ia adalah obor yang diharapkan mampu menyuluh jalan perjuangan Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh (MMKAHS) akan datang, agar terus menyemai semangat sukarelawan, memperjuangkan kebajikan pelajar dan melaksanakan program-program yang memberi impak sebenar kepada komuniti.
Kemenangan ini adalah isyarat awal bahawa KAHS sedang bangkit. Ia bukan penamat, tetapi satu permulaan tetapi satu inspirasi untuk lebih ramai mahasiswa menyumbang, memimpin dan mengukir nama bukan hanya dalam kolej, malah dalam sejarah universiti.
Semoga kemenangan ini menjadi pembakar semangat untuk MMK KAHS baharu terus melakar kecemerlangan, demi kesejahteraan mahasiswa dan kegemilangan KAHS tercinta.
