Oleh: Nik Nureen dan Syrelyn Misol
Tanjong Malim, 17 Julai 2025 – Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (MMK KUO) mencatat satu lagi detik bersejarah apabila Majlis Penyerahan Tugas dan Watikah Pelantikan MMK Sidang 2025/2026 berlangsung dengan penuh istiadat, menandakan peralihan rasmi tampuk kepimpinan daripada barisan MMK Sidang AYRIS kepada saf baharu yang bakal menerajui kepimpinan mahasiswa KUO.
Majlis yang berlangsung di Dewan Kolej Ungku Omar ini diserikan dengan kehadiran Pengetua Kolej Ungku Omar, Prof. Madya Dr. Mohd Nizam Nasrifan, barisan felo kolej, pihak pentadbiran serta Rakan Exco, sekali gus menggambarkan semangat kesatuan seluruh warga KUO dalam mendukung budaya kepimpinan mahasiswa yang berteras integriti, amanah dan aspirasi tinggi.
Dalam ucapan terakhirnya selaku Yang Dipertua MMK AYRIS, Saudara Haziq Arawi menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan dan sokongan yang diterima sepanjang tempoh kepimpinannya.



“Sidang AYRIS telah melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin melalui pelbagai inisiatif pembangunan sahsiah, kebajikan dalam semangat berpasukan yang tinggi. Kami amat berbangga kerana berjaya mengekalkan status Kolej Bitara bagi tahun ini. Kini tiba masa untuk kami menyerahkan amanah kepada generasi baharu,” ujar beliau penuh beremosi.
Majlis turut menyaksikan penyampaian watikah pelantikan kepada 38 orang pemimpin MMK baharu oleh Pengetua Kolej, sebagai simbol pengiktirafan rasmi dan bermulanya tanggungjawab kepimpinan sidang baharu.
Dalam acara bersejarah ini, penghargaan turut diberikan kepada seramai 36 orang barisan MMK AYRIS dan Rakan Exco yang telah banyak berkorban masa, tenaga dan idea sepanjang menjayakan program-program serta mengangkat nama KUO dalam pelbagai aspek.


Pengiktirafan ini sebagai simbol terima kasih atas dedikasi dan komitmen tinggi mereka terhadap pembangunan mahasiswa dan kesejahteraan kolej sepanjang sidang perkhidmatan.
Yang Dipertua MMK yang baharu, Saudara Ali Azizi, dalam ucapan sulungnya menyatakan komitmen tinggi barisan beliau untuk meneruskan legasi kecemerlangan sedia ada, di samping memperkenalkan pembaharuan yang selari dengan kehendak mahasiswa dan visi KUO.
“Dengan semangat kolektif dan dedikasi jitu, kami beriltizam untuk terus memacu KUO sebagai kolej kediaman yang unggul dalam aspek kebajikan, pembangunan pelajar serta kebersamaan komuniti,” tegas beliau dengan penuh yakin.
Menariknya, pada majlis yang sama, KUO turut mengumumkan penjenamaan semula kesemua portfolio Exco MMK, sebagai usaha menyelaraskan peranan dan fungsi kepimpinan pelajar dengan perkembangan semasa, keperluan mahasiswa serta hala tuju strategik kolej. Langkah ini diyakini dapat memperkasa struktur organisasi MMK secara lebih efektif, relevan dan berimpak tinggi.


Majlis ini bukan sahaja menjadi lambang penyambungan legasi kepimpinan, malah mencerminkan roh perjuangan dan kesepaduan seluruh warga KUO dalam mendukung nilai-nilai komitmen, integriti dan kesatuan, demi KUO yang terus cemerlang di persada universiti, kebangsaan dan antarabangsa.

