Ketibaan enam orang mahasiswa UPSI ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, SABTU, 2 Ogos 2025 – Seramai enam mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tiba di Negara Brunei Darussalam pagi kelmarin untuk mengikuti penempatan Latihan Mengajar selama lapan minggu, bermula 1 Ogos hingga 29 September 2025, di bawah Program Mobiliti Antarabangsa.
Ketibaan para pelajar di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei telah disambut oleh Timbalan Dekan (Pendidikan), Fakulti Pendidikan dan Sains Kemasyarakatan, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Ahmad Humaizi bin Haji Samihon, bersama beberapa pegawai fakulti dan wakil Bahagian Hal Ehwal Pelajar.
Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Fakulti Pendidikan dan Sains Kemasyarakatan, KUPU SB, dan Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI, yang menyelaras penempatan pelajar di beberapa sekolah terpilih sekitar Brunei.
Antara objektif utama penempatan ini adalah memberi pendedahan langsung serta pengalaman berharga kepada pelajar dalam konteks Latihan Mengajar di luar negara, di samping memperkukuh hubungan akademik antara institusi pengajian tinggi serantau.
Para pelajar terlibat telah ditempatkan di dua institusi pendidikan utama di Brunei Darussalam, iaitu Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam yang menempatkan Muhammad Firdaus Nordin, Nuur Hayati Rosli dan Raja Eiza Nadhirah Raja Khairudin Shah, serta Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien yang menempatkan Muhammad Ikram Sezali, Siti Hajar Jamal dan Fatin Hamizah Abdul Rahim.
Untuk rekod, KUPU SB dan UPSI telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) pada 10 Oktober 2023, dan kedua-dua pihak terus komited untuk memperkukuh kolaborasi dalam bidang pengajaran, pembelajaran, penyelidikan, latihan profesional, serta pertukaran staf dan pelajar.
Dengan sokongan penuh daripada pihak universiti dan institusi rakan kerjasama, program ini diharap dapat membuka lebih banyak peluang mobiliti antarabangsa kepada warga UPSI pada masa akan datang.
