Oleh : Muhammad Airul Idham Baharin
Ipoh, 6 Ogos 2025 – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perak telah menganjurkan satu Sesi Libat Urus bersama wakil Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS), Sekolah Berasrama Penuh (SBP), serta agensi-agensi kerajaan negeri bagi membincangkan isu pemakaian tali pinggang keledar dalam bas sebagai langkah menangani kemalangan jalan raya yang melibatkan pengangkutan awam.
Majlis yang berlangsung di pejabat JPJ Negeri Perak ini telah dirasmikan oleh Tuan Mohammad Yusoff bin Abustan selaku ucaptama majlis. Beliau menekankan kepentingan kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan agensi penguatkuasaan dalam meningkatkan tahap keselamatan pelajar dan penumpang.


Taklimat keselamatan dan sesi perbincangan telah diketuai oleh Bahagian Penguatkuasa JPJ Perak, yang menekankan kepatuhan terhadap Akta Pengangkutan Jalan, khususnya berkaitan pemakaian tali pinggang keledar di dalam bas.
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah diwakili oleh Encik Muhammad Airul Idham Baharin, Pegawai Tadbir Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), yang menyambut baik inisiatif ini dan menekankan peranan institusi pendidikan dalam mendidik pelajar mengenai keselamatan jalan raya.
Sesi ini diharap dapat memperkukuh pelaksanaan dan pemantauan penggunaan tali pinggang keledar dalam kalangan pelajar serta menyumbang ke arah pengurangan risiko kemalangan jalan raya melibatkan bas.

