oleh: Arissa Hasya Auni
Singapura, 28 Ogos 2025 – Pejabat Karang Mengarang (PKM) menganjurkan Lawatan Berimpak Tinggi Elsevier PTE LTD (Scopus Singapura) dan Program Jarungan Kerjasama Penerbitan Buku dan Jurnal UPSI dengan National University of Singapore (NUS) di Singapura pada 28 Ogos 2025.
Delegasi UPSI diketuai oleh Pengarah PKM, Profesor Madya Dr Nordiana Hamzah bersama tiga orang kakitangan iaitu Timbalan Pengarah (Penarafan dan Pengantarabangsaan) Dr Laili Farhana Md Ibharim, Perancang Bahasa S12 (Memangku), Faridah Hanim Aziz @ Adan dan Pegawai Tadbir N10 (Penerbitan) yang juga Ketua Seksyen Penerbitan Buku, Azlan Mohd Dahari.
“Program di Elsevier dan NUS bertujuan untuk pengindeksan antarabangsa buku dan jurnal” kata Dr Nordiana.



Sesi bersama Elsevier berlangsung pada sebelah pagi manakala sesi bersama NUS di sebelah petang, Elsevier diwakili oleh Kavit Vagnik, Regional Director, Solutions Sales manakala NUS diwakili oleh Upaasana Suresh, Sales and Marketing Manager NUS Press.
Pengerusi Program yang juga Ketua Seksyen Penerbitan Jurnal, PKM Encik Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain, berkata pemilihan program ke Elsevier bertujuan memperkasakan pengindeksan Scopus melibatkan jurnal-jurnal terbitan PKM khasnya dan juga buku-buku.
“Jaringan kerjasama yang dirintis oleh Penyelaras Program (PIC) di NUS, Faridah Hanim Aziz @ Adan dengan pihak NUS diharapkan dapat membuka ruang yang luas kerjasama antara Penerbit UPSI dan Penerbit NUS” tambah Ahmad yang juga Penyelaras Program (PIC) di Elsevier.

