Atlet peserta Karnival Sukan Air 2025 bergambar kenangan bersama barisan pengurusan tertinggi UPSI dan pihak penganjur di Tasik Marina, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)Atlet peserta Karnival Sukan Air 2025 bergambar kenangan bersama barisan pengurusan tertinggi UPSI dan pihak penganjur di Tasik Marina, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Oleh: Bazli Razak

Tanjong Malim, 5 Oktober 2025 – Lebih 1,000 atlet sukan air tempatan membanjiri Tasik Marina, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sempena penganjuran Karnival Sukan Air (KSA) 2025 yang berlangsung dari 3 hingga 5 Oktober.

Karnival anjuran Persatuan Kanu Malaysia dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu menampilkan pelbagai acara sukan air seperti perahu panjang, kanu sprint, kanu polo, kanu slalom dan stand up paddle (SUP).

Tasik Marina UPSI yang berukuran 530 meter panjang dengan kedalaman antara tiga hingga empat meter menjadi tumpuan peserta dan pengunjung, sekali gus memperlihatkan keupayaan universiti itu sebagai pusat pembangunan dan penganjuran sukan air di peringkat kebangsaan.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, fasiliti Tasik Marina bukan sahaja menawarkan kemudahan latihan dan pertandingan bertaraf profesional, malah menjadi ruang pembelajaran kepada pelajar dalam bidang sains sukan, kejurulatihan dan pendidikan jasmani.

“UPSI komited menjadikan Tasik Marina sebagai hab latihan dan pertandingan bagi sukan air di negara ini dengan menyediakan kemudahan yang sistematik, selamat dan mesra pengguna.

Azura Abidin (tengah) bergambar kenangan bersama Datuk Dr. Md Amin (kiri) semasa menerima cenderamata sempena Karnival Sukan Air 2025 di Tasik Marina, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Suasana sesi penyampaian hadiah Karnival Sukan Air 2025 di di Tasik Marina, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Azura Abidin, yang turut merakamkan penghargaan terhadap kerjasama strategik UPSI dalam memartabatkan pembangunan sukan air negara.

Menurut beliau, penganjuran karnival ini bukan sahaja memupuk minat masyarakat terhadap aktiviti air, malah memperkukuh ekosistem pembangunan sukan melalui penyertaan pelajar universiti, komuniti setempat dan persatuan sukan kebangsaan.

Datuk Dr. Md Amin berucap ketika menyempurnakan Karnival Sukan Air 2025 di Tasik Marina UPSI
Tasik Marina, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI

Selain menjadi lokasi pertandingan, Tasik Marina turut dilengkapi kemudahan latihan berteknologi tinggi termasuk jeti serbaguna, laluan keselamatan, stor peralatan dan ruang penonton, menjadikan UPSI sebagai salah satu institusi pendidikan yang memiliki prasarana sukan air paling lengkap di Malaysia.

“Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan UPSI turut memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini dengan penglibatan pelajar sebagai pegawai teknikal, sukarelawan dan pengurus .

“Penganjuran KSA 2025 ini diharap dapat diteruskan sebagai acara tahunan yang bukan sahaja menyemarakkan semangat kesukanan tetapi turut mengangkat nama UPSI sebagai peneraju pembangunan sukan air universiti di rantau ini,” ujar beliau.