oleh: Dr. Nurul Fadhilah Abdullah
Tanjong Malim, 3–5 Oktober 2025 — Tasik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di MARINA, Pusat Sukan UPSI, bergema dengan sorakan dan gelak tawa apabila Karnival Sukan Air 2025 berlangsung dengan penuh meriah dan semangat kesukanan yang tinggi.
Program anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) dan UPSI ini diadakan sempena Sambutan Hari Sukan Negara, serta merupakan penganjuran pertama di luar Putrajaya.
Lebih 500 peserta mengambil bahagian dalam pelbagai acara seperti perahu panjang, kanu sprint, kanu polo, kanu slalom dan Stand Up Paddling (SUP).



Aktiviti santai seperti tug of war, tuding dash, baling nyor dan pertandingan mewarna kanak-kanak turut menceriakan suasana, menjadikan tasik UPSI destinasi riadah keluarga yang menarik.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Puan Azura binti Abidin, bersama Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, serta Presiden MASCA, Encik Mhd Zaini bin Mohd Mukhtar.
Dalam ucapannya, Naib Canselor UPSI menzahirkan rasa bangga kerana UPSI menjadi tuan rumah luar Putrajaya pertama bagi karnival berprestij ini.



“Kita percaya, melalui kerjasama strategik dengan KBS dan MASCA, UPSI bukan sahaja menjadi pusat ilmu tetapi juga pusat pembangunan bakat sukan yang inklusif,” ujarnya.
Karnival ini bukan sekadar mempertemukan atlet dan peminat sukan air, tetapi turut menyemai semangat perpaduan, kesukarelawanan dan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
