Oleh: Prof Madya Dr. Shazlyn Milleana Shaharudin dan Rabbiatul Umaira Ramli
Bayan Lepas, 23 Ogos 2025 – Bengkel Infinimath Venture 1.0 yang berlangsung pada hari ini di INTI International College Penang telah menghimpunkan seramai 17 orang guru Matematik sekolah menengah bagi meneroka pendekatan baharu dalam pengajaran topik abstrak seperti algebra, pemfaktoran dan transformasi.
Bengkel anjuran Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan Jabatan Matematik, Fakulti Sains dan Matematik (FSM) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Penang Math Platform ini bertujuan memperkasakan guru Matematik sekolah menengah melalui pendekatan pengajaran yang lebih kreatif, interaktif dan berasaskan STEM dengan penggunaan Kit Algebra Interaktif.
Program ini menjadi medium pemindahan ilmu, perkongsian amalan terbaik, serta pembangunan inovasi pedagogi yang dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran topik-topik Matematik yang bersifat abstrak. Bengkel ini telah dikendalikan oleh pensyarah dan 5 pelajar di bawah Jabatan Matematik,FSM, UPSI.
Melalui bengkel ini, peserta diperkenalkan kepada kit pengajaran Matematik interaktif yang dibangunkan oleh pensyarah dan pelajar Fakulti Sains dan Matematik, UPSI.


Kit ini direka berasaskan pendekatan STEM serta disokong dengan teknologi digital seperti Realiti Terimbuh (Augmented Reality, AR).
Sepanjang program, guru-guru bukan sahaja didedahkan dengan kaedah penggunaan kit, malah turut berpeluang bertukar pandangan, berkongsi strategi pengajaran, serta membincangkan cabaran sebenar di bilik darjah. Pendekatan hands-on ini membantu guru membina idea inovatif dan menambah baik amalan pedagogi masing-masing.
Prrogram ini telah memberi impak positif dengan meningkatkan keyakinan guru untuk menerapkan elemen kreatif dan interaktif dalam pengajaran Matematik.
Di samping itu, ia turut membuka ruang kepada pembangunan komuniti pembelajaran profesional yang menyokong usaha peningkatan kualiti pendidikan Matematik di sekolah.
Turut memeriahkan program ialah perkongsian oleh Dekan Fakulti Sains dan Matematik UPSI, Prof. Dr. Mohd Faizal Nizam Lee bin Abdullah yang memberi suntikan semangat kepada para peserta.
Secara keseluruhan, Infinimath Venture 1.0 telah berjaya memberi pendedahan kepada guru tentang kaedah pengajaran yang lebih interaktif dan inovatif.
Program ini bukan sahaja meningkatkan keberkesanan pengajaran, malah mewujudkan jaringan komuniti pembelajaran profesional antara guru bagi menyokong transformasi pendidikan Matematik yang selari dengan kehendak abad ke-21.
