Oleh : Muhammad Alif Ayub
Tanjong Malim – Kolej Awang Had Salleh, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah selesai melaksanakan program pendaftaran pelajar baharu kemasukan sesi A251 selama dua hari dengan penuh meriah dan teratur.
Kolej Awang Had Salleh menerima penghuni baharu seramai 1600 orang daripada 4000 pelajar yang mendaftar di Universiti Pendidikan Sultan Idris pada sesi kali ini.
Proses pendaftaran ini melibatkan semakan dokumen, penempatan kolej kediaman dan sesi serahan kunci bilik kepada para pelajar.
Suasana menjadi lebih bermakna apabila ibu bapa turut hadir untuk mengiringi anak-anak bagi membuktikan bahawa ibu bapa sangat berasa bangga dan mampu mengorbankan tenaga dan masa.
Dalam hal ini, ibu bapa sibuk membantu mengemas bilik dan meninjau kolej kediaman dan fakulti-fakulti bagi memastikan keselesaan anak mereka.
Sepanjang program, Majlis Mahasiswa Kolej (MMK) bersama sukarelawan melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi, menampilkan sikap sopan santun dan mesra dalam membantu pelajar baharu serta ibu bapa.
Keprihatinan ini bukan sahaja melancarkan urusan pendaftaran, malah memberi imej positif terhadap budaya warga Universiti Pendidikan Sultan Idris yang mengamalkan nilai adab dan akhlak.



Yang Dipertua Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh berkata, kelancaran pendaftaran adalah perancangan dan hasil kerjasama erat antara pentadbiran kolej, Majlis Mahasiswa Kolej (MMK), Rakan Millenia UPSI, dan sukarelawan dari kalangan pelajar-pelajar Diploma.
Selain urusan rasmi, pelajar baharu turut didedahkan dengan sesi pengenalan kemudahan kolej, taklimat keselamatan serta aktiviti suai kenal bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran UPSI.
Program ini sekali lagi membuktikan komitmen Kolej Awang Had Salleh dalam menguruskan pendaftaran pelajar baharu secara sistematik, efisien dan mesra, selaras dengan hasrat UPSI untuk melahirkan mahasiswa yang berilmu dan berdaya saing.
