Oleh: Haidil Aizat

Tanjong Malim, 28 Oktober 2025 – Dalam usaha memperkukuh budaya keselamatan dalam kalangan warga kampus, Kolej Awang Had Salleh (KAHS), Universiti Pendidikan Sultan Idris, telah menganjurkan program “Safety in Calmness: Firedrill with Mindful Readiness” bertempat di kawasan parkir belakang Blok B, KAHS.

Program ini berjaya menghimpunkan seramai 3,299 pelajar, 7 orang felo, 35 orang Majlis Mahasiswa Kolej (MMK) serta 24 orang ketua aras, menjadikannya antara latihan kebakaran terbesar pernah dijalankan di kolej kediaman UPSI.

Program anjuran Exco Penginapan dan Kemasyarakatan MMK KAHS Sidang 2025/2026, Mohamad Haidil Aizat, ini bertujuan melatih penghuni kolej tentang tatacara menyelamatkan diri ketika kecemasan, meningkatkan kesedaran terhadap aspek keselamatan, serta memupuk nilai tanggungjawab bersama dalam mengamalkan budaya keselamatan di kampus.

Persiapan awal bermula dengan sesi taklimat menyeluruh kepada barisan AJK pelaksana pada jam 8.00 malam.

Tepat jam 10.57 malam, simulasi kecemasan dimulakan dengan pelepasan asap di bilik rehat Blok B sebelum loceng kebakaran dibunyikan pada jam 11.00 malam, menandakan permulaan latihan.

Para penghuni segera bergerak ke kawasan parkir belakang Blok B mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan.

Pada jam 11.05 malam, pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia tiba di lokasi dan menjalankan simulasi operasi penyelamatan serta kawalan kebakaran.

Seusai latihan evakuasi, proses pengumpulan data penghuni dijalankan bagi memastikan semua pelajar berada dalam keadaan selamat.

Program diteruskan dengan demonstrasi penggunaan alat pemadam api oleh pihak bomba yang memberi pendedahan praktikal dan interaktif kepada para peserta.

Majlis turut disempurnakan oleh Pengetua Kolej Awang Had Salleh, Dr. Mardiana binti Ismail, yang dalam ucapannya menegaskan pentingnya ketenangan, kesedaran dan kecekapan tindakan ketika menghadapi situasi kecemasan.

Beliau turut memuji inisiatif MMK KAHS dalam menganjurkan program yang berimpak tinggi terhadap kesejahteraan dan keselamatan penghuni kolej.

Program berakhir sekitar jam 1.30 pagi dengan suasana penuh keinsafan dan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai pentingnya keselamatan diri serta kerjasama komuniti.

Penganjuran ini bukan sekadar latihan, tetapi manifestasi komitmen KAHS dalam membentuk komuniti kampus yang selamat, berdaya tahan dan berjiwa prihatin, selaras dengan aspirasi universiti ke arah kampus sejahtera.