Oleh: Dr. Nor Asimah binti Zakaria
Tanjong Malim, 29 November 2025- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Jabatan Hospitaliti dan Sains Konsumer, Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) telah melaksanakan Projek Santun Masyarakat (PSM), ‘Jalinan Rasa, Jahitan Kasih’ bertempat di PKM KEMAS, Taman Slim Permai, Slim River, Perak.
Program ini menghimpunkan 29 orang pelajar dan seorang pensyarah sebagai sukarelawan utama dalam usaha mendekatkan universiti dengan komuniti setempat melalui pendekatan perkongsian ilmu dan kemahiran.
Program ini selari dengan aspirasi Pelan Strategik UPSI 2021–2025 khususnya dalam memperkasa Kebitaraan Pendidikan (T1), Keunggulan Graduan (T3), Kemampanan Kewangan (T4) dan Keutuhan Modal Insan (T5). Melalui aktiviti berfokuskan masakan dan jahitan, pelajar bukan sahaja mengaplikasikan ilmu yang dipelajari, malah membantu komuniti membangunkan potensi diri melalui kemahiran praktikal yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.
Program ‘Jalinan Rasa, Jahitan Kasih’ memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu dan kemahiran dalam bidang masakan dan jahitan, khususnya dalam pembuatan pau dan teknik sulaman asas.


Peserta terdiri daripada 40 orang surirumah dan belia setempat di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS). Melalui bengkel yang dijalankan, komuniti didedahkan dengan langkah demi langkah dalam penghasilan pau serta asas seni sulaman yang boleh dikembangkan kepada produk kreatif. Pendedahan ini membuka ruang kepada peserta untuk menjadikan kemahiran tersebut sebagai potensi sumber pendapatan sampingan, khususnya bagi suri rumah, belia dan usahawan mikro.




Bagi pelajar UPSI pula, program ini berfungsi sebagai medan latihan autentik untuk menerapkan kemahiran insaniah seperti kemahiran komunikasi, kepimpinan, pengurusan masa dan kerja berpasukan. Pelajar berperanan sebagai fasilitator, pengajar dan pengurus program, sekali gus menambah keyakinan diri dan pengalaman mereka dalam berinteraksi dengan masyarakat pelbagai latar belakang.
Program ini juga menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan dua hala antara UPSI dan KEMAS. Melalui kerjasama strategik ini, universiti berupaya menyalurkan kepakaran dalam bidang pendidikan dan kemahiran teknikal, manakala KEMAS menyediakan ruang dan jaringan komuniti sebagai penerima manfaat utama.
Sinergi ini menyokong hasrat universiti untuk terus menjadi rakan strategik kepada agensi kerajaan dan komuniti dalam pelaksanaan program berimpak tinggi yang berteraskan pendidikan, kemahiran hidup dan pembangunan insan.
Dari sudut impak, program ini memberikan pulangan dalam bentuk pembangunan ilmu dan kemahiran, bukan hanya keuntungan kewangan semata-mata. Antara implikasi utama program ialah komuniti memperoleh kemahiran baharu dalam pembuatan pau dan sulaman asas yang berpotensi dijadikan produk jualan, seterusnya membantu menambah pendapatan isi rumah.
Pelajar juga berpeluang mengaplikasikan teori yang dipelajari di bilik kuliah ke dalam situasi sebenar, di samping meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan melalui pengendalian aktiviti bersama komuniti. Ketiga, Program ini menyokong pelaksanaan teras strategik universiti, khususnya dalam melahirkan graduan berdaya saing, memperkukuh hubungan universiti–komuniti serta memupuk modal insan yang berintegriti, berilmu dan berkemahiran.
Secara keseluruhannya, Projek Santun Masyarakat ‘Jalinan Rasa, Jahitan Kasih’ telah berjaya merealisasikan matlamat untuk menjalin hubungan mesra antara universiti dan komuniti, di samping membentuk masyarakat yang berpengetahuan, berkemahiran dan saling menyokong ke arah kesejahteraan bersama.
Program seumpama ini diharap dapat diteruskan dan dikembangkan ke komuniti lain sebagai satu usaha berterusan UPSI dalam memartabatkan pendidikan dan memperkasa komuniti melalui ilmu dan kemahiran.
