Oleh: Muhammad Haziq Haikal Mahazi & Kamal Kamaruddin

Tanjong Malim, 26 Disember 2025 – Exco Ekonomi dan Keusahawanan Persatuan Mahasiswa Sejarah (PERMAS), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan program tayangan filem seram bertajuk Tirai Mistika yang disertai seramai 167 orang mahasiswa.

Program berbentuk hiburan santai itu diadakan di Dewan Kuliah Pelajar 6 dan 7 dengan bayaran tiket sebanyak RM3 seorang, bertujuan memperkaya pengalaman mahasiswa melalui aktiviti berkonsepkan kebersamaan dan interaksi sosial merentas fakulti.

Sesi pendaftaran peserta

Sesi pendaftaran peserta bermula seawal jam 8.00 malam dengan urus setia bersedia menyambut kehadiran pelajar. Suasana dewan yang pada awalnya dipenuhi perbualan ringan bertukar meriah apabila peserta mula mengambil tempat dan menantikan tayangan bermula.

Peserta kusyuk melihat tayangan filem

Tayangan filem bermula dengan dua buah filem seram pilihan semasa, iaitu Tarot dan Mungkar. Gabungan elemen mitos, kejutan serta naratif moden menjadikan tayangan tersebut bukan sahaja mendebarkan, malah dekat dengan jiwa penonton. Reaksi spontan seperti jeritan, gelak tawa gugup dan aksi refleks para peserta menceriakan suasana dewan sepanjang tayangan berlangsung.

Aspek kebajikan dan keselesaan peserta turut diberi perhatian apabila pihak penganjur menyediakan kaunter pendaftaran, minuman berkarbonat serta popcorn. Pengurusan yang tersusun dan prihatin itu menerima maklum balas positif daripada peserta.

Seusai tayangan, sesi ulasan ringkas diadakan bagi memberi ruang kepada peserta berkongsi pandangan dan pengalaman. Pelbagai reaksi dilontarkan, termasuk pujian terhadap kualiti tayangan serta cadangan agar program ini diteruskan dengan variasi genre seperti thriller psikologi dan misteri penyiasatan.

Seorang peserta menyifatkan program tersebut sebagai ruang untuk melepaskan tekanan akademik, selain mengeratkan hubungan sesama mahasiswa dalam suasana santai dan menyeronokkan. Menurutnya, program seperti ini memberi impak positif terhadap kesejahteraan mental dan sosial pelajar.

Program Tirai Mistika melabuhkan tirainya sekitar jam 10.30 malam dengan sesi fotografi serta tayangan paparan Champ kepada peserta. Secara keseluruhan, penganjuran program ini bukan sahaja berjaya menyediakan hiburan berkualiti, malah mengukuhkan semangat komuniti dan mencipta kenangan bermakna dalam kalangan mahasiswa UPSI.