Oleh: Muhammad Syafiq Razali, Prof. Madya Dr. Shazlyn Milleana Shaharudin (FSM) dan Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib (FSK)
CYBERJAYA, 5 Januari 2026 – Program Open Day Mawaddah Kinoko House berjaya dianjurkan di Dash Box Hotel, Cyberjaya, Selangor sebagai satu inisiatif pendidikan komuniti yang memberi tumpuan kepada pembangunan pembelajaran anak-anak inklusif.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Khas Negeri Selangor, sekali gus mencerminkan sokongan berterusan pihak berkepentingan terhadap usaha memperkukuh pendidikan inklusif di Malaysia.



Penganjuran program ini merupakan hasil kerjasama antara Jabatan Matematik, Fakulti Sains dan Matematik (FSM) serta Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama rakan strategik, Mawaddah Enterprise. Program ini diselaras oleh Prof. Madya Dr. Shazlyn Milleana Shaharudin dan Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib,pensyarah dari Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, FSK. yang memastikan pengisian aktiviti dilaksanakan secara terancang, berfokus serta selari dengan keperluan pembelajaran inklusif.


Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti pembelajaran berasaskan pengalaman diperkenalkan bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang selamat, mesra dan bermakna kepada anak-anak inklusif. Pendekatan ini memberi ruang kepada kanak-kanak untuk belajar mengikut keupayaan masing-masing melalui interaksi langsung, penerokaan kendiri dan bimbingan fasilitator dalam persekitaran yang menyokong perkembangan kognitif, sosial dan emosi.
Antara pengisian utama program ialah penggunaan bahan pembelajaran STEM yang dibangunkan di bawah seliaan Prof. Madya Dr. Shazlyn Milleana bersama pelajar UPSI. Bahan tersebut menumpukan kepada aktiviti hands-on dan manipulatif yang membantu kanak-kanak memahami konsep asas STEM secara konkrit dan berperingkat. Pendekatan ini bukan sahaja menyokong perkembangan kemahiran berfikir dan motor halus, malah meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak dalam menyelesaikan tugasan mudah secara kendiri dengan bimbingan minimum.
Selain itu, program ini turut menampilkan Geonimals Set, iaitu bahan pembelajaran berasaskan Geografi yang dibangunkan oleh pasukan Dr. Sumayyah Aimi. Geonimals Set menggunakan pendekatan visual dan pembelajaran berasaskan permainan untuk memperkenalkan konsep asas alam sekitar dan haiwan kepada anak-anak inklusif. Penggunaan bahan ini membantu kanak-kanak memahami persekitaran sekeliling secara santai dan berperingkat, di samping menggalakkan interaksi sosial serta komunikasi dua hala dalam suasana pembelajaran yang kondusif.
Penglibatan pelajar UPSI sebagai fasilitator turut memberikan nilai tambah kepada program ini. Antara pelajar yang terlibat ialah Rabbiatul Umaira Ramli, Florencea Roslin, Deviviana Madius, Nur Affa Najihah Iswandi, Mohammad Amir Ziqri Idris, Nur Ilya Nazifa Suhaimi dan Muhammad Syafiq Razali. Penglibatan ini bukan sahaja memperkukuh kemahiran komunikasi dan profesionalisme pelajar, malah memberi pendedahan praktikal berkaitan pengendalian pembelajaran inklusif di luar bilik darjah.
Secara keseluruhannya, Open Day Mawaddah Kinoko House berjaya mencapai matlamatnya sebagai platform pemerkasaan pembelajaran inklusif yang menggabungkan elemen STEM dan Geografi secara seimbang. Program seumpama ini wajar diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan bagi menyokong pembangunan pendidikan inklusif yang lebih menyeluruh, selari dengan aspirasi pendidikan negara serta peranan UPSI sebagai universiti pendidikan unggul.
