Tanjung Malim, 6 Januari 2026– Exco Perhubungan Awam dan Komunikasi Antarabangsa (CLOINEX), Persatuan Geografi (PERGEO) Sidang 2025/2026 telah menganjurkan Program Bengkel Protokol: Profesionalisme dalam Pengurusan Majlis bertempat di Dewan Kuliah Pelajar 13 (DKP 13), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program yang berlangsung dari jam 8.00 malam hingga 11.00 malam itu telah disertai seramai 41 orang peserta yang terdiri daripada barisan Majlis Tertinggi, Exco, Rakan Exco serta wakil batch PERGEO. Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen kepimpinan persatuan dalam memperkukuh aspek profesionalisme dan kecekapan pengurusan majlis dalam kalangan mahasiswa.

Bengkel tersebut dianjurkan bertujuan memberikan pendedahan awal kepada mahasiswa mengenai kepentingan penguasaan ilmu protokol serta penerapan nilai profesionalisme dalam pengurusan majlis, sama ada melibatkan majlis rasmi, separa rasmi atau tidak rasmi. Penguasaan aspek protokol dilihat sebagai keperluan penting khususnya kepada mahasiswa yang aktif dalam organisasi pelajar dan terlibat secara langsung sebagai jawatankuasa penganjur program.

Program ini menampilkan Muhd Aidil Khusairi Noor Azsli, Penolong Pendaftar Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), UPSI sebagai panel jemputan. Beliau yang telah berkhidmat di UPSI sejak 17 Julai 2014 mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan majlis dan protokol rasmi di peringkat fakulti.

Sepanjang sesi bengkel, beliau berkongsi pelbagai input berkaitan tatacara protokol termasuk susunan keutamaan tetamu kehormat, etika komunikasi rasmi, pengurusan tempat duduk serta kepentingan penampilan diri dan bahasa tubuh dalam majlis rasmi. Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan perancangan awal serta koordinasi yang berkesan bagi memastikan kelancaran sesuatu program.

Panel jemputan juga berkongsi contoh situasi sebenar serta kesilapan lazim yang sering berlaku dalam pengurusan majlis, sekali gus membantu peserta memahami implikasi sekiranya protokol tidak dipatuhi dengan betul.

Bengkel ini dilaksanakan secara interaktif dengan memberi ruang kepada peserta untuk bertanya soalan serta berkongsi pengalaman masing-masing berkaitan pengurusan program yang pernah disertai. Interaksi dua hala ini telah mewujudkan suasana pembelajaran yang aktif dan berkesan serta meningkatkan kefahaman peserta terhadap topik yang dibincangkan.

Program Bengkel Protokol ini dianjurkan khas untuk ahli PERGEO sebagai usaha memperkukuh kefahaman barisan kepimpinan dan ahli jawatankuasa persatuan dalam aspek pengurusan majlis secara profesional. Penganjurannya turut menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti melalui penyampaian ilmu dan kemahiran praktikal, serta SDG 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh dengan penekanan terhadap amalan tadbir urus yang berintegriti dan profesional dalam organisasi pelajar.

Selain pengisian ilmu, pihak penganjur turut menyediakan makanan dan minuman kepada semua peserta yang mendaftar sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan komitmen yang diberikan. Program ini juga mencerminkan usaha PERGEO dalam menyokong pembangunan mahasiswa secara holistik merangkumi aspek akademik, kemahiran pengurusan dan kepimpinan.

Penyampaian cenderahati kepada panel jemputan

Secara keseluruhannya, Program Bengkel Protokol: Profesionalisme dalam Pengurusan Majlis berjaya mencapai objektif yang digariskan dan memberi impak positif kepada para peserta. Program ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan mahasiswa mengenai protokol, malah membantu membentuk sikap lebih berdisiplin, beretika dan profesional dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai penganjur majlis.

Pihak Persatuan Geografi Sidang 2025/2026 berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan dan diperkasakan pada masa akan datang bagi melahirkan aktivis PERGEO yang berketerampilan, berkeyakinan serta bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan dan kepimpinan organisasi.