Tanjung Malim, 4 Januari 2025 – Program Penamaan Batch 2025/2026: Veltra Cinema Multiverse anjuran Persatuan Geografi (PERGEO), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Kolej Za’ba sebagai simbol permulaan yang bermakna bagi kepimpinan dan aktivis PERGEO Sidang 2025/2026.
Program tersebut bertujuan memberikan pengiktirafan kepada aktivis PERGEO yang cemerlang serta mengeratkan ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam kalangan mahasiswa Geografi. Program ini dianjurkan oleh Sirik Chai A/L Boon Keng selaku Penolong Ketua Exco PERGEO Sidang 2025/2026.
Majlis dimulakan dengan ucapan Yang Dipertua Persatuan Geografi Sidang 2025/2026, Putri Erra Elyana Sharizal, sebelum dirasmikan oleh Penasihat Persatuan Geografi, Dr. Mohammad Ihsan Muhamad Ismail.


Penganjuran program ini selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh serta SDG 17: Kerjasama Demi Matlamat, yang menekankan pembinaan organisasi yang inklusif, berkesan dan berteraskan semangat kerjasama dalam kalangan ahli jawatankuasa serta aktivis persatuan.
Program bertemakan Veltra Cinema Multiverse ini berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang dengan penyertaan seramai 300 orang peserta terdiri daripada aktivis batch Geonity (Semester 1), Geoventures (Semester 3), Geolaxy (Semester 5) dan Geoforest (Semester 7) daripada Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI.

Antara pengisian utama program ialah tayangan video korporat Persatuan Geografi yang memperkenalkan latar belakang, visi, misi serta barisan kepimpinan baharu PERGEO Sidang 2025/2026. Tayangan ini bertujuan memupuk rasa bangga, semangat kekitaan dan kefahaman terhadap struktur organisasi serta pencapaian persatuan dalam kalangan aktivis.
Program diteruskan dengan sesi penyampaian anugerah kokurikulum kepada aktivis yang cemerlang di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa sebagai pengiktirafan terhadap penglibatan aktif mereka dalam bidang bukan akademik.
Majlis turut diserikan dengan persembahan daripada Exco Sukan, Rekreasi dan Kebudayaan (SCOREX) yang menampilkan elemen seni dan kebudayaan melalui persembahan tarian moden, sekali gus memartabatkan kreativiti mahasiswa di peringkat universiti.
Selain itu, program ini turut memperkenalkan batch baharu PERGEO dengan memberi ruang kepada wakil batch Geonity, Semester 1, untuk menyampaikan ucapan serta mempersembahkan video montaj dan persembahan batch sebagai tanda penghargaan dan sambutan kepada kehadiran aktivis baharu.
Batch daripada semester lain turut diberi peluang mempersembahkan video montaj dan persembahan masing-masing, sekali gus mencungkil bakat, kreativiti serta memperkukuh hubungan silaturahim antara aktivis PERGEO.
Persembahan setiap batch berperanan memperkenalkan identiti dan keunikan masing-masing di samping memupuk semangat kerjasama, keyakinan diri dan kreativiti secara berkumpulan, sekali gus memeriahkan suasana program.
Program ini turut dimeriahkan dengan sesi peragaan fesyen bertemakan sinema yang menampilkan kepelbagaian kostum kreatif dalam kalangan aktivis PERGEO. Persembahan tersebut berjaya mencuri tumpuan dan menyemarakkan suasana majlis.


Sebagai penutup, sesi penyampaian hadiah telah diadakan kepada para pemenang bagi beberapa kategori pertandingan antaranya Kostum Terbaik, Video Montaj Terbaik, Persembahan Terbaik, Batch Paling Sporting serta pemenang Program Batch Chronolens anjuran Exco Media, Informasi dan Publisiti (MEDEX). Penilaian dibuat berdasarkan aspek kerjasama, kreativiti dan kesungguhan peserta.
Secara keseluruhannya, Program Penamaan Batch 2025/2026: Veltra Cinema Multiverse berjaya mencapai objektif penganjurannya dalam memperkukuh hubungan silaturahim, memupuk semangat kesatuan serta menggilap bakat baharu dalam kalangan aktivis Persatuan Geografi UPSI. Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform pembangunan mahasiswa yang holistik.
